Siapa lagi sasaran Zionis selepas ini?

Siapa lagi pemimpin Palestin bakal jadi sasaran selepas ini?

ANGGOTA Briged Al-Qassam memegang plakad potret pemimpin Hamas, Abdel Aziz Rantissi (kanan), Sheikh Ahmed Yassin (tengah) dan Ibrahim Muqadmeh semasa perhimpunan pada 23 Mac 2016 di Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dalam serangan di Teheran kelmarin, menyaksikan satu lagi usaha  menghapuskan pemimpin-pemimpin kumpulan pejuang itu di seluruh dunia.

Kematian Haniyeh berlaku sehari selepas Israel menyasarkan komander Hezbollah, Fuad Shukr di Beirut dan di tengah perang dahsyat di Gaza yang sehingga kini mengorbankan lebih 40,000 rakyat Palestin.

Selepas serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lepas, Israel secara terbuka mengancam pemimpin kanan kumpulan pejuang Palestin itu berada dalam senarai pembunuhannya.

Dalam rakaman yang diumumkan pada 4 Disember 2023, Ketua Agensi Perisikan Israel (Shin Bet), Ronen Bar berkata, negaranya akan membunuh semua pemimpin Hamas di setiap lokasi di Gaza, Tebing Barat, Turkiye, Qatar atau di mana sahaja di seluruh dunia.

Kematian Haniyeh di Teheran juga mengikut corak panjang pembunuhan pemimpin Palestin, dari Rom ke Paris, Beirut ke Athens dan Gaza ke Tunis.

Israel jarang mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu, namun tidak juga menafikan peranannya.

Penganalisis yakin pembunuhan terbaharu ini mempunyai cap tangan Israel, menjangkau lebih daripada setengah abad.

Berikut adalah pemimpin yang terbunuh selama beberapa dekad:

SALEH AL-AROURI

Al-Arouri, 57, adalah Timbalan Ketua Biro Politik Hamas dan salah seorang pengasas sayap bersenjata, Briged Al-Qassam.

Beliau dibunuh dalam serangan dron di pinggir bandar Beirut pada Januari tahun ini.

Al-Arouri tinggal dalam buangan di Lubnan selepas menghabiskan 15 tahun di penjara Israel.

Sebelum perang 7 Oktober bermula, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengancam untuk membunuhnya.

MAHMOUD AL-MABHOUH

Beliau adalah seorang komander tentera Briged Al-Qassam yang bertanggungjawab untuk logistik dan perolehan senjata serta mengasaskan Unit 101, yang didedikasikan untuk menculik tentera Israel.

Al-Mabhouh dibunuh pada Januari 2010 di Hotel Al Bustan Rotana bertaraf lima bintang di Dubai, serangan itu dipercayai secara meluas dilakukan oleh Mossad.

Menurut polis, Al-Mabhouh dibius, terkena renjatan elektrik dan kemudian dicekik dengan bantal.

MAHMOUD AL-MAJZOUB

Al-Majzoub adalah pemimpin kanan kumpulan Jihad Islam Palestin (PIJ) dan sekutu rapat kumpulan Hezbollah di Lubnan.

Beliau dibunuh pada Mei 2006 di bandar Sidon, Lubnan akibat letupan bom yang dipasang pada pintu keretanya.

Israel menafikan bertanggungjawab dalam serangan itu, tetapi PIJ dan Hezbollah menyalahkan rejim terhadap pembunuhan tersebut.

ABDEL AZIZ AL-RANTISI

Al-Rantisi adalah salah seorang daripada tujuh pengasas bersama gerakan Hamas, termasuk Sheikh Ahmed Yassin, pada awal Intifada pertama.

Beliau dinamakan sebagai pemimpin baharu Hamas selepas pembunuhan Yassin pada Mac 2004.

Al-Rantisi terbunuh dalam serangan peluru berpandu helikopter Israel di Gaza, tidak sampai sebulan selepas pembunuhan Yassin.

Tentera Udara Israel melepaskan peluru berpandu Hellfire dari helikopter AH-64 Apache ke arah keretanya.

SHEIKH AHMED YASSIN

Sheikh Yassin dianggap sebagai pemimpin rohani Hamas. Beliau yang mengalami quadriplegia dan hampir buta, bergantung pada kerusi roda akibat kemalangan sukan ketika berusia 16 tahun.

Beliau terbunuh dalam serangan peluru berpandu helikopter Israel ketika selesai solat Subuh di luar masjid di bandar Gaza.

Sumber keselamatan Israel berkata, Perdana Menteri ketika itu, Ariel Sharon secara peribadi mengarahkan dan memantau serangan helikopter terhadap ulama Palestin itu.

YAHYA AYYASH

Ayyash digelar jurutera terkenal dengan kemahirannya sebagai pembuat bom dan komander batalion Briged Al-Qassam di Tebing Barat.

Beliau dianggap bertanggungjawab memperkenalkan pengeboman berani mati sebagai strategi menentang Israel.

Ayyash dibunuh di Beit Lahiya, Gaza pada Januari 1996 oleh Shin Bet, yang meletakkan bahan letupan dalam telefonnya dan meletupkannya dari jauh selepas beliau menerima panggilan.

ABU JIHAD

Abu Jihad atau nama sebenarnya Khalil al-Wazir, adalah seorang tokoh penting dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) – beliau membantu menubuhkan Fatah pada akhir 1950-an.

Selama bertahun-tahun, beliau adalah timbalan kepada Pengerusi PLO, Yasser Arafat.

Abu Jihad ditembak mati oleh ejen Israel dalam serbuan komando pada April 1988 di Tunis, Tunisia.

KHALID NAZZAL

Nazzal ialah Setiausaha Jawatankuasa Pusat Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP) dan pemimpin PLO.

Israel menganggapnya bertanggungjawab terhadap serangan Ma’alot 1974, di mana pejuang Palestin membunuh 22 kanak-kanak dan empat dewasa.

Beliau dibunuh oleh ejen Mossad di Athens pada Jun 1986.

MOHAMED BOUDIA

Boudia, seorang penyair dan penulis drama Algeria, adalah ahli kanan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin, yang juga berjuang untuk pembebasan Algeria.

Beliau dibunuh oleh bom kereta yang diletakkan di bawah tempat duduk oleh ejen Mossad pada Jun 1973 di Paris.

ABDEL WAEL ZWAITER

Zwaiter, seorang penterjemah Palestin, adalah wakil PLO di Rom. Israel menuduhnya sebagai komander kumpulan bersenjata Black September yang menyerang pasukan Israel pada Sukan Olimpik Munich 1972.

Penyokongnya berkata, beliau seorang intelektual yang tiada kaitan konklusif dengan kumpulan itu.

Zwaiter ditembak mati oleh ejen di lobi bangunan pangsapurinya di Rom, Itali pada Oktober 1972.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×