EDINBURGH: Saintis akan menganalisis kira-kira 1.6 juta imbasan otak menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan membangunkan alat untuk meramalkan risiko demensia atau penyakit nyanyuk.
Para penyelidik di Universiti Edinburgh dan Universiti Dundee akan memeriksa imbasan CT dan MRI pesakit dari Scotland yang diperoleh selama lebih daripada satu dekad, sebagai sebahagian daripada usaha penyelidikan global yang dikenali sebagai NEURii.
Kumpulan itu akan menggunakan AI untuk memadankan data imej dengan rekod kesihatan untuk mencari corak yang dapat membantu doktor menentukan risiko seseorang menghidapi demensia dengan lebih baik.
Bilangan pesakit demensia di seluruh dunia dijangka mencecah 153 juta menjelang 2050 dan para penyelidik memberi amaran ia boleh memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan dan sosial.
Menurut kajian, kos penjagaan kesihatan dan sosial berkaitan dengan demensia kini melebihi £780 bilion (RM4.45 trilion) setahun.
Penyelidik berkata, mereka mahu mencipta alat digital yang boleh digunakan oleh pakar radiologi ketika mengimbas pesakit untuk menentukan risiko demensia dan mendiagnosis penyakit serta keadaan berkaitan lebih awal.
Alat tersebut juga boleh membantu mempercepatkan pembangunan rawatan yang lebih tepat untuk demensia.
Pakar AI dan pengimejan perubatan di Universiti Dundee, Prof Emanuele Trucco berkata, sekiranya berjaya, pihaknya akan mempunyai perisian yang boleh mengesan risiko demensia seawal mungkin.
Ketua projek, Prof Will Whiteley dari Pusat Sains Otak Klinikal Edinburgh pula berkata, penggunaan imbasan otak untuk meramal demensia boleh memberi pemahaman yang lebih baik tentang penyakit itu yang seterusnya akan memudahkan pembangunan rawatan baharu.- AGENSI











