Rusuhan Britain: Mana suara pemimpin Islam di UK?

Rusuhan Britain: Mana suara pemimpin Islam di UK?

POLIS rusuhan berdepan penunjuk perasaan di Bristol, selatan England, semasa demonstrasi 'Enough is Enough' pada 3 Ogos lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kebencian terhadap umat Islam menjadi tajuk utama di United Kingdom (UK) apabila penyebaran maklumat palsu yang disangkal sebelum ini, mencetuskan gelombang rusuhan golongan ekstremis sayap kanan.

Beberapa masjid dan premis milik umat Islam menjadi sasaran kumpulan perusuh di pelbagai bandar seluruh negara dalam rusuhan yang berlanjutan selama lebih seminggu.

Pertempuran ganas dan serangan yang disasarkan terhadap masyarakat Islam menonjolkan isu Islamofobia berperanan mencetuskan pergolakan.

Menurut pendedahan Biro Kewartawanan Penyiasatan (TBIJ), seruan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam, hasutan menghancurkan masjid dan arahan mencipta bahan letupan tersebar di saluran mesej yang digunakan ekstremis sayap kanan semasa rusuhan di UK.

Menerusi platform pemesejan Telegram, TBIJ mendapati puluhan kiriman mengandungi kenyataan hasutan kepada keganasan, Islamofobia, rasisme dan antisemitisme.

Sehingga kini, kira-kira 400 orang ditangkap sepanjang seminggu rusuhan di sekitar UK, yang dicetuskan daripada maklumat palsu melibatkan pembunuhan tiga kanak-kanak di Southport.

Akhbar The Guardian melaporkan, sekitar 10 masjid diserang atau berdepan ancaman semasa rusuhan berterusan.

Katanya, peningkatan ancaman terhadap orang Islam juga meningkat lima kali ganda seperti rogol dan bunuh, selain peningkatan tiga kali ganda dalam insiden jenayah kebencian.

Walaupun penunjuk perasaan dirakam menyasarkan warna kulit dan melontarkan kebencian anti-Muslim, keengganan pihak berkuasa untuk menggelar rusuhan itu sebagai Islamofobia menimbulkan kebimbangan bahawa ahli politik dan media mungkin meremehkan peranannya dalam mencetuskan kekacauan.

PERLU TINDAKAN SUSULAN

Meskipun Perdana Menteri, Keir Starmer memberi jaminan keselamatan terhadap komuniti Islam namun rusuhan dan serangan masih berlaku kepada umat Islam sehingga saat ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan di mana suara pemimpin Islam khususnya 25 ahli Parlimen Muslim dalam mengurangkan ketegangan isu perkauman dan anti pendatang.

Tidak dinafikan terdapat kenyataan empat ahli Parlimen Bebas beragama Islam mengecam rusuhan didalangi kumpulan haluan kanan, namun ia perlu disusuli tindakan untuk bertemu dengan penganjur rusuhan.

Lord Chancellor dan Setiausaha Keadilan, Shabana Mahmood yang merupakan satu-satunya wakil Muslim dalam Kabinet Starmer hanya menyuarakan pendirian tegas dalam isu ini, dengan memberi amaran mereka yang menimbulkan kekacauan akan menghadapi tindakan undang-undang.

Malah, The Muslim Council Of Britain hanya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam soal ini, sebaliknya mereka wajar menjadi jalan pendamaian antara komuniti Islam dan golongan haluan kanan.

Pemimpin Muslim di UK sepatutnya mencontohi pendekatan Imam Masjid Abdullah Quilliam, Adam Kelwick yang mengambil jalan pendamaian untuk bertemu dengan kumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan protes di hadapan masjid tertua di Liverpool.

Beliau sanggup mengambil risiko untuk berinteraksi dan mendekati kumpulan penunjuk perasaan bagi mendengar luahan mereka.

Adam percaya, individu yang terlibat dalam protes ganas itu adalah dalam kalangan mereka yang bergelut dengan kos sara hidup, selain bimbang sentimen ‘Muslim mengambil alih’ UK.

Rusuhan di beberapa bandar Britain yang berlaku sejak kelmarin sehingga mencederakan polis dan kerosakan harta benda awam disifatkan paling besar sejak 13 tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN