JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas kecewa setelah kehilangan barang kemas bernilai kira-kira RM9,000 ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital awam di bandar raya ini, bulan lalu.
Mangsa, P. Saroja, 63, berkata, dia lebih terkilan kerana rantai emas seberat kira-kira 24 gram yang hilang itu adalah peninggalan mendiang ibu mentuanya.
Katanya, dia menyedari rantai emas itu serta wang tunai RM200 hilang pada pukul 3.30 petang ketika menerima rawatan di bahagian kecemasan hospital berkenaan, 25 Julai lalu.
“Saya bukan sengaja memakai barang kemas ke hospital, pada awalnya saya hanya ke klinik kesihatan berhampiran rumah di Taman Universiti, di sini tetapi akibat masalah darah tinggi, saya dibawa ke hospital.
“Hampir empat hari saya dalam keadaan tidak stabil sebelum menyedari kehilangan barang kemas dan wang,” katanya kepada pemberita semalam.
Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, dia turut bertanyakan kepada kakitangan hospital yang berada di bahagian kecemasan namun tidak menerima maklum balas positif.
Malah, katanya, dia juga dimaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) di hospital berkenaan tidak berfungsi.
“Ahli keluarga saya juga berusaha bagi mendapatkan penjelasan pihak pengurusan namun gagal,” katanya.
Katanya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku terhadap pesakit yang menerima rawatan di hospital kerana boleh menimbulkan rasa kurang senang selain mencemar nama baik hospital terbabit.
Katanya, dia sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral, di sini pada 1 Ogos lalu supaya kejadian berkenaan disiasat secara menyeluruh.
Kelmarin, tular sebuah video dalam TikTok berkaitan pendedahan kes kecurian di sebuah hospital di bandar raya ini.
Di ruangan komentar, beberapa warganet turut berkongsi pengalaman buruk yang dialami mereka melibatkan permasalahan sama ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan polis dari mangsa dan memaklumkan siasatan akan dilakukan.










