PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dipantau secara lebih dekat supaya ia berjaya memartabatkan golongan bumiputera dan rakyat keseluruhannya tanpa meminggirkan kaum-kaum lain.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan PuTERA35 akan dipantau sepenuhnya oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan beliau sendiri yang bakal menjadi dokumen baharu untuk mengangkat darjat dan martabat bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Katanya, pelaporan dan pemantauan secara sistematik dan bersepadu melalui dashboard (papan pemuka) yang akan membolehkan penilaian lebih menyeluruh serta langkah intervensi dapat diambil dengan segera.
Untuk itu, beliau mahu semua agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membuat pemantauan tersebut supaya mencapai hasil yang disasarkan demi pembangunan negara.
“PuTERA35 ini perlu, kita nak merancang (pembangunan negara) tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian untuk menjayakannnya.
“Kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya bagi memartabatkan bumiputera dan rakyat Malaysia.
“Saya antara PM (Perdana Menteri) yang paling sedikit bicara soal bumiputera dan dasar ekonomi bumiputera kerana saya lebih berminat untuk memastikan pelaksanaannya daripada menghebahkan dasarnya,” katanya ketika berucap melancarkan PuTera35 di sini, semalam.
Pelan tersebut dibangunkan dengan penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) bumiputera yang lebih bermakna, berhasrat untuk mencipta nilai melalui pendekatan lebih produktif dan bersesuaian dengan moderen bumiputera dalam usaha berkembang bagi meningkatkan peranan lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Ia menekankan kepentingan aspek keseluruhan pembangunan termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli serta menjamin asas kelangsungan, keutuhan dalam pengagihan kekayaan, kesaksamaan dan keadilan sosial.
Pelan ini adalah agenda yang amat diharapkan dengan memberi tumpuan kepada setiap elemen bumiputera dari pelbagai latar belakang dan peringkat di negara ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, mana-mana pihak dalam kalangan yang mengurus dan mengendalikan agensi bumiputera itu dianggap pengkhianat lebih besar kalau mereka merosakkan agensi itu dengan tatakelola yang rendah.
Ini termasuk menggunakan agensi dan peluang untuk memperkayakan diri dan kelompok mereka dan meninggalkan serta melupakan agenda utama untuk mengangkat bumiputera.
“Dalam proses perbincangan dalam wacana kita lebih awal, ini harus kita mulakan, berapa puluh bilion ringgit saham yang diberikan, hampir puluhan malah ratus agensi didirikan, apakah mereka merencana program secara bertanggungjawab dan ada tidak proses akauntabiliti?
“Dalam pelan perancangan, sebelum kita terus ke peringkat pelaksanaan, yang nak laksanakan ini siapa? Tentunya agensi bumiputera maka mereka harus pastikan proses pelaksanaan itu lebih teliti, lebih cekap, lebih bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN










