PRK Nenggiri: Warga emas jadi individu pertama mengundi di Tabika Sri Bakawali - Utusan Malaysia

PRK Nenggiri: Warga emas jadi individu pertama mengundi di Tabika Sri Bakawali

ZAKARIA Mamat menjadi individu pertama yang melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi PRK Nenggiri di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan hari ini-KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang warga emas menjadi individu pertama yang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama di sini hari ini.

Zakaria Mamat, 64, tiba seawal pukul 7.45 pagi dan beratur di pintu masuk tabika berkenaan sebelum dibenarkan masuk oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memeriksa saluran mengundi.

Zakaria berkata, dia bangun seawal pukul 5.30 pagi dan kemudian bersiap sebelum melaksanakan tanggungjawab tersebut.

“Saya seronok dan bersemangat untuk mengundi dan tidak sangka menjadi orang pertama.

“Insya-Allah, selepas ini anak-anak isteri akan keluar mengundi. Kesemua anak-anak saya diperantauan turut pulang untuk menunaikan tanggungjawab ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Zakaria memberitahu, dia berharap wakil rakyat yang menang pada PRK kali ini dapat melaksanakan tugas dalam membela nasib penduduk di sini.

Sementara itu, Akmal Haikal Alaisak, 18, yang kali pertama mengundi turut mengakui teruja dengan pengalaman itu.

Katanya, dia lega dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut.

PRK Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd. Rizwadi Ismail.

PRK Nenggiri dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Bersatu dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Ekoran itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 13 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon Bersatu Mohd. Azizi Abu Naim menewaskan calon BN Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×