PRK Nenggiri: Suasana tenang, Penyokong BN dan PN mula berhimpun

PRK Nenggiri: Suasana tenang, Penyokong BN dan PN mula berhimpun

SEBAHAGIAN penyokong BN mula berkumpul bagi memberikan sokongan kepada calon mereka sempena penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang, Kelantan hari ini-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Suasana di pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini tenang apabila penyokong Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (BN) berkumpul bagi memberikan sokongan kepada calon yang mewakili parti mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kedua-dua penyokong parti itu mula berhimpun seawal pukul 7 pagi mengikut kawasan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Turut kelihatan petugas keselamatan termasuk anggota polis sibuk mengawal lalu lintas dan melaksanakan tugas-tugas lain bagi memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik sepanjang proses berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo pula berkata, walaupun jalan ditutup namun keadaan lalu lintas lancar dan terkawal. 

Katanya, anggota trafik telah ditempatkan bagi mengawal serta melancarkan keadaan lalu lintas. 

“Kita berharap pengguna jalan raya dapat merancang perjalanan kerana laluan utama akan ditutup kira-kira 5 jam bermula pukul 7 pagi.  Pada masa sama, kami turut berharap proses penamaan calon hari ini berjalan lancar,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah pada 13 Jun lalu mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.

Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi Abu Naim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN

 

 

 

-habis-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN