PRK NENGGIRI: ‘Saya ambil keputusan untuk berhenti awal’

PRK NENGGIRI: ‘Saya ambil keputusan untuk berhenti awal’

MOHD. Rizwadi Ismail semasa berceramah di Unit Daerah Mengundi Serian, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Rizwadi Ismail menafikan beliau berhenti sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana melakukan kesalahan.

Mohd. Rizwadi berkata, beliau merancang untuk bersara awal daripada pasukan berke­naan selepas berkhidmat selama 13 tahun.

“Saya masuk TLDM bermula 2003 selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sepanjang 13 tahun berkhidmat, saya ditugaskan di Sabah, Lumut, Perak dan terakhir di Pahang.

“Ketika di Pahang, saya ambil keputusan untuk berhenti awal. Pada Januari 2015, saya secara rasmi tamat perkhidmatan dalam TLDM.

“Namun dalam TikTok, ada yang kata saya berhenti kerana ada kesalahan, tak mengapalah mereka yang menipu dapat dosa, saya pula dapat pahala,” katanya semasa berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian, di sini semalam.

Mohd Rizwadi memberitahu, sejurus tamat perkhidmatan dalam TLDM dia mengambil keputusan pulang ke kampung di Bertam Lama, di sini.

Katanya, beliau kemudian melakukan kerja-kerja kema­syarakatan dan dakwah sehinggalah dilamar menjadi Pembantu Dakwah Halaqat.

“Seterusnya saya diberikan tanggungjawab sebagai Penge­lola Dakwah Halaqat di Gua Musang.

“Alhamdulillah, kini saya diberi peluang menjadi calon di PRK Nenggiri dan sepanjang tempoh berkempen, saya memanfaatkan masa sebaik mungkin bertemu pengundi,” ujar­nya.

Sementara itu, Mohd. Riz­wadi mahu menggunakan pengalamannya sebagai bekas anggota tentera untuk memberikan khid­mat terbaik jika diberi mandat sebagai wakil rakyat pada 17 Ogos ini.

Mohd. Rizwadi berkata, pada sama sama pengalaman dakwah semasa menggalas tugas sebagai pengelola dakwah halaqat akan turut dimanfaatkan untuk menabur bakti.

“Tentera ni tegas, tapi tak bekeng (garang), namun dalam hati ada taman. Tengok bos saya (Datuk Khlir) muka garang, nak tengok pun takut.

“Bila bersama masyarakat dia lain,” katanya.

Mohd. Rizwadi memberita­hu, dunia politik yang mahu beliau bawa ialah ke arah dunia dan akhirat bagi mencari reda Allah. Pada PRK Nenggiri, Mohd. Rizwadi akan ditentang calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, calon PN dari Bersatu, Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN