KOTA BHARU: Polis mengesan wujud hasutan supaya individu lain agar tidak menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada esok.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya memandang serius dan tindakan tegas boleh diambil kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan yang menakut-nakutkan individu selain menimbulkan provokasi melampau.
“Polis sentiasa memastikan perjalanan pilihan raya mengikut proses demokrasi dapat dijalankan tanpa sebarang halangan.
“Justeru, pihak polis memberi jaminan bahawa semua pengundi akan dapat keluar mengundi dengan selamat, tanpa ragu-ragu dan bebas membuat pilihan dengan tidak dipengaruhi oleh mana-mana individu agar tidak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam satu sini.
Muhamad Zaki memberitahu, perbuatan itu boleh menggangu sistem demokrasi dan ketenteraman awam seperti yang termaktub di dalam Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.
Katanya, pada masa sama parti politik atau individu dilarang menimbulkan provokasi antara satu sama lain bagi mengelakkan ketenteraman awam tergugat.-UTUSAN











