GUA MUSANG: Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru semua pengundi berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.
Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, semua penduduk perlu menunaikan tanggungjawab mengundi tanpa mengira parti yang dipilih.
“Saya berada di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jeram Tekoh semalam dan ramai yang bersetuju untuk memihak kepada kita. Tetapi, mungkin ada perubahan pemikiran dan saya rasa rugi kalau pengundi tidak mengundi.
“Pesanan saya adalah pengundi jangan mengulangi kesilapan lalu. Apa untung kalau tidak mengundi. Mahu undi pembangkang atau siapa terpulang, tetapi perlu keluar mengundi,” katanya kepada pemberita selepas Program Perasu Berselawat di pekarangan Pejabat Felda Perasu di sini malam tadi.
Utusan Malaysia sebelum ini meloporkan, polis mengesan terdapat cubaan untuk mempengaruhi individu lain agar tidak menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRK DUN Nenggiri pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya memandang serius dan tindakan tegas boleh diambil kepada mereka yang mengeluarkan sebarang kenyataan yang menakut-nakutkan individu selain menimbulkan provokasi melampau.
Menurutnya, perbuatan itu boleh menggangu sistem demokrasi dan ketenteraman awam seperti yang termaktub di dalam Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.
Dalam pada itu, Ku Li berkata, BN ketika ini fokus kepada masalah tempatan yang dihadapi rakyat dalam kempen PRK.
Katanya, beliau menyedari parti lawan menggunakan isu nasional seperti isu kenaikan harga minyak diesel bagi menarik sokongan pengundi.
“Kita memberi tawaran untuk berkhidmat bagi kawasan DUN semestinya banyak perkara yang timbul menyentuh isu rakyat tempatan. Oleh itu, kita fokus soal tempatan.
“Jika mahu bercakap soal kebangsaan (nasional), memang kita boleh lakukan. Tetapi, sekarang ini kita berhadapan masalah tempatan. Jadi, fokus kita mesti mengenai perkara yang berlaku dan menghimpit kehidupan rakyat tempatan,” ujarnya.-UTUSAN










