PRK Nenggiri: 71.87 peratus pengundi laksana tanggungjawab - Utusan Malaysia

PRK Nenggiri: 71.87 peratus pengundi laksana tanggungjawab

SEORANG warga emas melaksanakan tugas sebagai pemilih pada PRK DUN Nenggiri di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama, Gua Musang, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebanyak 71.87 peratus pengundi dari jumlah keseluruhan pemilih yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 20,259 orang keluar melaksanakan tanggungjawab Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri semalam.

SPR dalam satu kenyataan berkata, peratusan itu direkodkan setakat pukul 4 petang.

Menurut kenyataan itu, ia merupakan jumlah terakhir yang akan dilaporkan oleh pihak SPR.

PRK ini dilangsungkan selepas penyandangnya Mohd. Azizi Abu Naim dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilucut hak sebagai ahli selepas melanggar peraturan dengan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Ekoran itu, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mengumumkan kekosongan luar jangka pada 13 Jun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada Bersatu mengenai pengguguran keahlian Mohd. Azizi.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan dua pemimpin muda antara Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN), sementara Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan logo Pas mempertaruhkan Mohd. Rizwadi Ismail sebagai calon.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu, Mohd. Azizi Abu Naim yang menggunakan logo Pas berjaya menewaskan penyandang kerusi berkenaan dari BN Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×