PRK Mahkota: PN Johor bincang persiapan, hantar beberapa nama calon - Utusan Malaysia

PRK Mahkota: PN Johor bincang persiapan, hantar beberapa nama calon

SAHRUDDIN JAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) negeri ini akan mengadakan mesyuarat esok bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, termasuk berkaitan calon yang akan diketengahkan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Kluang itu turut akan mengusulkan beberapa nama kepada pucuk pimpinan parti.

“Mengenai calon PN untuk PRK DUN Mahkota, PN Johor akan mengusulkan beberapa nama kepada Pusat bagi penilaian dan perincian lanjut. Lebih elok, PN Pusat yang memberi ulasan lanjut kerana kita hanya akan mengusulkan dan terpulang kepada pucuk pimpinan memutuskannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September depan, manakala jari penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.

Mengulas lanjut, Sahruddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia  (Bersatu) Johor berkata, sebelum ini PN Johor telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama-sama  rakan parti komponen negeri ini.

“Mesyuarat yang akan diadakan esok bagi membincangkan secara lebih terperinci mengenai PRK DUN Mahkota, persiapan jentera dan sebagainya. Ia akan dihadiri Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan wakil Gerakan Johor sama ada Timbalan Pengerusi atau Setiausahanya,” katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain  meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan meraih 16,611 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN