GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) melihat ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tersasul semasa Himpunan Pembebasan Palestin tidak memberikan kesan kepada pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri meskipun perkara itu dijadikan sebagai bahan kempen.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan berkata, hal ini kerana perkara itu berlaku secara tidak sengaja.
Menurutnya, jadual yang padat menyebabkan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri tersasul semasa. menyampaikan ucapannya.
“Saya tahu dia (Ahmad Zahid) memang letih ke sana ke mari, merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO dan bermacam program serta datang ke DUN Nenggiri lagi.
“Perkara tersasul ini terlalu rendah untuk diviralkan, bukan atas niat tapi tersasul,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Ahmad memberitahu, perkara tersebut tidak perlu dijadikan isu kerana kehadiran Zahid ke himpunan tersebut jelas bertujuan memberi sokongan kepada umat Islam di Palestin.
“Majlis itu ialah majlis untuk Palestin. Beliau ditakdirkan tersasul nak buat macam mana.
“Lainlah kalau majlis itu bukan majlis untuk Palestin… tapi itu majlis Palestin,” ujarnya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memohon maaf selepas secara tidak sengaja melaungkan sokongan untuk Israel semasa Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid berkata, kesilapan itu berlaku ketika dia penuh bersemangat terhadap isu perang yang melanda negara Timur Tengah.
-habis-










