KLUANG: Siapa bakal dicalonkan untuk mewakili UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota menjadi topik utama, khususnya warga Kluang, ketika ini.
Memilih calon yang layak dan sesuai bagi menggantikan tempat Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain bukan semudah difikirkan kerana perlu memenuhi kriteria calon pasti menang.
Antara nama yang disebut-sebut ialah Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday, 57, yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan.
Md. Jais pernah menjadi ADUN Mahkota dua penggal sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kembalinya Ketua Penerangan UMNO Johor itu pasti akan menghangatkan lagi suhu politik di Kluang yang dijangka menghadapi tentangan calon anak tempatan daripada parti lawan, khususnya Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun, nama lain yang turut berpotensi menjadi taruhan ialah Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin, 47, yang sudah berkecimpung dalam arena politik sejak berusia 24 tahun pada 2002.
Beliau antara individu yang mempunyai kriteria calon berkebolehan untuk diketengahkan kerana selain tergolong dalam golongan muda, malah turut berketerampilan untuk mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan Sharifah Azizah.
Malah, Zainani sudah mempunyai pengikut sendiri apabila pernah menjadi Ketua Puteri UMNO Bahagian Kluang pada 2009 hingga 2013 sebelum menjadi Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang pada 2023.
Bagaimanapun, siapa bakal calon UMNO dijangkakan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti itu selepas makluman berkaitan kekosongan kerusi DUN Mahkota diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tarikh penamaan calon ditetapkan. – UTUSAN










