PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota boleh dijadikan medan untuk UMNO-BN menguji pendekatan ‘politik digital’ bagi menarik pengundi baharu.
Felo Penyelidik Bersekutu, Institusi Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhd. Afifi Abdul Razak berkata, adalah penting UMNO-BN menggunakan platform media sosial dan aplikasi mudah alih untuk berkomunikasi dengan pengundi.
Menurut beliau, langkah itu bertepatan dan sesuai dengan trend terkini dalam mendepani dinamik politik semasa selain untuk parti itu kekal relevan.
“UMNO-BN perlu menguasai ruang digital untuk kekal relevan terutamanya dalam menarik minat pengundi muda. Namun, adalah penting untuk UMNO tidak bergantung sepenuhnya pada strategi digital dan mengabaikan kaedah kempen tradisional.
“Pendekatan hibrid yang menggabungkan kedua-dua kaedah adalah lebih berkesan, terutamanya di kawasan luar bandar di mana akses internet mungkin terhad.
“UMNO-BN perlu mengambil pendekatan yang seimbang, progresif dan inklusif untuk menarik semula kepercayaan rakyat dan kekal relevan dalam landskap politik Malaysia yang semakin kompleks.,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, BN yang sudah menjangkau 50 tahun perlu membuat beberapa pembaharuan khususnya dalam mendekati golongan muda.
Kata Zambry, antara pendekatan yang boleh digunakan adalah ‘politik telefon bimbit’ bagi memenuhi kehendak khususnya generasi baharu atau digelar Gen Z.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Dr. Ariff Aizuddin Azlan berkata, sudah tiba masanya parti itu menonjolkan diri melalui platform digital kerana konteks persaingan politik hari ini sangat berbeza.
“Ini adalah masanya untuk UMNO-BN menonjolkan diri mereka melalui platform digital. Jika gagal untuk memposisikan diri selari dengan tuntutan global, maka mereka akan ketinggalan dan hanyut dalam arus politik.
“Hal ini kerana platform digital memudahkan urusan politik dari aspek meraih maklumat yang berguna. Bagi saya, tidak salah jika PRK DUN Mahkota ini dijadikan sebagai ujian litmus untuk mengukur sejauh mana keberkesanannya,” katanya.










