PETALING JAYA: Gaya politik ‘desperado’ atau terlalu mendesak oleh pembangkang dengan menjadikan sentimen agama dan kaum sebagai modal berpolitik hanya akan menghancurkan perpaduan rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, sikap pembangkang pada hari ini terlalu terdesak untuk mengejar kuasa sehingga ‘syok sendiri’ dengan fakta untuk kepentingan sendiri.
“Segalanya ingin dipolitikkan. Hormatilah perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Hormati titah Baginda Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial, semalam.
Sebaliknya, Ramanan menegaskan, perkembangan ekonomi negara menunjukkan semakin baik, menyerlah dan berada di landasan terbaik.
Menurutnya, pelbagai rancangan dan program giat diusahakan oleh kerajaan Madani demi menjamin harapan rakyat.
“Perpaduan rakyat merupakan kekuatan kita. Inilah keunikan negara Malaysia. Janganlah gunakan sentimen agama dan kaum sebagai modal politik,” ujarnya.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil komuniti, ketua kampung dan barisan kepemimpinan komponen Kerajaan Perpadian di sekitar Saujana Utama sempena Bulan Kebangsaan.
Ramanan berkata, sesi perbincangan dua hala bersama rakyat itu memberi peluang dan platform yang terbaik untuk mereka berbincang dan bertukar pandangan tanpa sebarang protokol.
“Semasa sesi tersebut, saya mendengar pandangan dan cadangan dari penduduk untuk proses penambahbaikan dan tambah nilai di kawasan Sungai Buloh.
“Saya akan pastikan yang terbaik untuk warga Sungai Buloh. Itulah keutamaan saya selaku Ahli Parlimen kawasan ini,” katanya.











