Polis Kelantan lupus dadah bernilai lebih RM89.3 juta

Polis Kelantan lupus dadah bernilai lebih RM89.3 juta

MUHAMAD Zaki Harun (kiri) memeriksa dadah yang akan dilupuskan semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Polis Kelantan akan melupuskan pelbagai jenis dadah lebih RM89.3 juta yang dirampas pasukan itu sejak tahun 1997 sehingga tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia melibatkan dadah jenis pil kuda,  heroin, ganja, syabu, ketamin, ketum dan sebagainya yang dirampas sepanjang tempoh berkenaan.

Menurutnya, dadah yang akan dilupuskan itu adalah pil kuda sebanyak lebih 5.8 kilogram (kg),  syabu (799 kg), heroin (492 gram), kanabis (5.5 kg), air ketum (243 liter) dan daun ketum (711 kg).

“Selain itu, pelupusan itu turut melibatkan dadah jenis nimetazepam dengan berat 238.4 gram, kodein (0.5 liter), diphendramine (301.6 liter), pil ekstasi (159 gram) dan pil psikotropik (264.6 gram).

“Dadah jenis ketamin seberat 0.76 gram, methadone (0.0006 liter) dan diclofenac (2.12 gram) juga dilupuskan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, kesemua rampasan itu melibatkan 3,808 kertas siasatan selepas melalui proses mahkamah dan telah mendapat arahan untuk dilupuskan.

“Pelupusan ini adalah yang pertama dilakukan pada tahun ini manakala tahun lepas juga kita ada membuat satu proses pelupusan rapi. 

“Proses pelupusan barang kes ini akan dilakukan oleh syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. di  Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan esok,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, pelupusan barang kes ini dilaksanakan mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata,Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan merekodkan sebanyak 17,694 tangkapan dengan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM10.33 juta bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Katanya, nilai sitaan aset pengedar dadah pula dianggarkan berjumlah RM3.7 juta dan seramai 69 individu telah diambil tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×