PNB agih RM249.2 bilion keuntungan pelaburan sejak 1978

PNB agih RM249.2 bilion keuntungan pelaburan sejak 1978

RAJA Arshad Raja Tun Uda mengiringi Anwar Ibrahim meninjau pameran MSAM pada hari perasmiannya di Shah Alam semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengagihkan keuntungan pelaburan kepada pemegang-pemegang unit sebanyak RM249.2 bilion sejak ditubuhkan pada Mac 1978 termasuk RM13.3 juta bagi 2023.

Pengagihan tersebut selari dengan matlamat PNB dalam mengangkat kemajuan ekonomi rakyat khususnya bumiputera apabila mendapat kepercayaan hampir 13 juta rakyat yang menyimpan atau melabur melalui pengurusan unit amanahnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Pengerusinya, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, PNB kekal komited dalam menjunjung mandat untuk membangkitkan kekayaan ekonomi bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia.

“Setiap usaha kami, dirancang untuk mengimbangi keuntungan bagi pelaburan sosial, kami memastikan pulangan mampan kepada pemegang unit sambil menyokong dan me­nyumbang kepada kejayaan sosio ekonomi negara.

“PNB amat menekankan aspek pendidikan sehingga kini biasiswa bernilai RM430.1 juta dianugerahkan kepada 5,857 pelajar cemerlang untuk me­lanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“PNB juga menjalin kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan untuk pembangunan komuniti bagi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024, semalam.

Menurut beliau, antara dilakukan adalah perkongsian ilmu pelaburan melalui MSAM yang dianjurkan sejak tahun 2000 demi meningkatkan tahap ekonomi rakyat dan sehingga kini memanfaatkan lebih 4.3 juta rakyat.

Dalam pada itu, Raja Arshad memaklumkan syarikat penggerak dasar kerajaan itu turut memainkan peranan terhadap pembangunan komuniti termasuk memberi nilai tambah kepada penduduk sekitar Menara Merdeka 118 melalui program geran khas bagi mening­katkan kualiti hidup mereka dan menyokong sumber pendapatan serta peniagaan.

“Mercu tanda ikonik negara, Menara Merdeka 118 dirasmikan pada 10 Januari lalu, PNB juga membangunkan kawasan sekitar itu melalui program Geran Komuniti Merdeka 118 untuk meningkatkan kualiti hidup komuniti dan terus menyokong sumber pendapatan dan perniagaan mereka.

“Sepanjang 2023, PNB menyumbang RM6 juta dengan 90 peratus diperuntukan untuk pembangunan komuniti dan selebihnya untuk pembangunan pendidikan. Antaranya sumbangan RM5 juta kepada lebih 18,000 penerima dan 60 buah sekolah yang terjejas akibat banjir kilat pada bulan November 2022 berterusan hingga Mac 2023,” jelasnya.

Katanya lagi, pada MSAM kali ini juga ASNB diberikan nafas baharu melalui pelancaran logo terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penampilan lebih segar dan dinamik.

“Perubahan ketara huruf S merupakan simbol yang menghubungkan pemegang amanah kami dengan matlamat dan aspirasi mereka.

“Bagi menarik minat gene­rasi muda dan memperkasakan pelaburan sedia ada, PNB juga mengambil pendekatan yang lebih menarik dan disokong oleh perkhidmatan nasihat kewangan dalam talian mudah dan diperibadikan,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN