KUANTAN: Pihak berkuasa perlu menyiasat secara menyeluruh ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, ia perlu dilakukan selepas bekas Perdana Menteri itu mendakwa video ucapannya yang menyentuh institusi raja dan tersebar di media sosial diedit pihak tertentu.
“Jadi, PSAP meminta supaya pihak berkuasa siasat secara menyeluruh ucapan Muhyiddin, ia penting bagi memastikan ucapan yang tular berkenaan tulen ataupun diedit.
“Namun, berdasarkan rakaman video berkenaan, cara penyampaian Muhyiddin dalam ucapannya itu dilihat seolah-olah beliau mempertikaikan kuasa Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam urusan melantik perdana menteri.
“Sepatutnya tidak wajar menyentuh perkara itu dengan mengambil kira prinsip Raja Berperlembagaan. Pelantikan perdana menteri adalah kuasa mutlak baginda dalam Perlembagaan, jadi Muhyiddin tidak boleh mempersoalkan kenapa, bagaimana dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.
Susulan itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah murka dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh serta mempertikaikan tugas serta peranan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Muhyiddin bagaimanapun menegaskan kenyataannya di Nenggiri, Kelantan itu bukan bertujuan menghina institusi raja, tetapi hanya menyatakan fakta.
Mengulas lanjut, Haslihelmy mengingatkan semua pemimpin parti politik agar tidak menyentuh aspek berhubung agama, kaum dan raja (3R) dalam berpolitik.
“Saya ingin menasihatkan ahli dan pimpinan politik supaya berhati-hati mengeluarkan ucapan. Jangan menarik institusi diraja dalam kancah politik,” tegasnya.
Beliau berkata, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.
“PSAP menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap Sultan Pahang, AI-Sultan Abdullah dalam menjalankan tugas baginda sebagai payung tempat sekalian rakyat bernaung,” katanya. – UTUSAN










