KANGAR: Perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum wajib diteruskan supaya keharmonian, keamanan dan kestabilan negara dapat terus menerus diperkukuhkan.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perpaduan adalah tiang seri kemerdekaan dan teras perpaduan tanpa mengira perbezaan agama, bangsa mahupun negeri.
Titah baginda, kemerdekaan merupakan tanggungjawab seluruh rakyat dan semua pihak perlu memainkan peranan bagi menjamin kedaulatan tanah air tercinta sentiasa terpelihara.
“Selaras dengan tema Hari Kemerdekaan Tahun 2024, ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, tanpa perpaduan sesama kita, kemerdekaan ini hanya akan tinggal nama,” titah baginda merasmikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 peringkat negeri ini di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis semalam.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dan Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Titah baginda lagi, prinsip Rukun Negara adalah panduan yang membentuk identiti dan jati diri sebagai rakyat Malaysia.
Baginda bertitah, prinsip ini merupakan tunjang kepada keharmonian dan kestabilan negara.
“Dengan menghayati, mengamalkan serta berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara, Insya-Allah kita dapat memastikan kemerdekaan yang kita nikmati hari ini terus kekal dan bermakna,” titah baginda.
Seterusnya baginda juga memberi penekanan terhadap pendidikan, pembangunan sosioekonomi dan tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar terutama sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
“Pendidikan adalah kunci kepada kemajuan dan pembangunan sosial. Agama Islam memberi penekanan kepada aspek pendidikan dalam kehidupan. Oleh itu, rakyat Perlis sekalian, marilah sama-sama kita menjunjung ilmu agar kita menjadi lebih berpendidikan, berkemahiran, berintegriti dan berbudi pekerti seterusnya dapat berjasa kepada ibu pertiwi.
“Selain itu, pembangunan sosioekonomi yang mampan dan kukuh mampu memangkin aktiviti ekonomi, mengurangkan jurang ketidaksamarataan serta dapat meningkatkan taraf hidup rakyat dan secara tidak langsung,
kesejahteraan, keamanan dan perpaduan sejagat dapat dicapai.
“Antara lain, sedaya-upayalah juga kita untuk menjaga alam sekitar yang merupakan tuntutan agama dan bersempena TMPs 2024/2025 ia merupakan peluang emas untuk kita bersama-sama melatih diri untuk menjaga alam sekitar yang bukan sahaja dapat menarik pelancong, malah memastikan kelestarian alam untuk generasi akan datang,” titah baginda.-UTUSAN