Perang Israel, Lubnan hanya retorik?

Perang Israel, Lubnan hanya retorik?

PENGEBOMAN Israel di perkampungan Khiam, selatan Lubnan susulan pertempuran rentas sempadan antara tentera dan pejuang Hezbollah, pada 23 Ogos lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Israel dan kumpulan Hezbollah melancarkan pertempuran paling sengit pada Ahad selepas beberapa bulan saling berbalas serangan, yang dibimbangi mengheret Asia Barat kepada perang dahsyat.

Pertempuran sengit di sempadan Israel-Lubnan itu hampir mencetuskan perang, tetapi kedua-dua pihak berhenti dan menarik diri.

Tentera Israel mendakwa mengerahkan 100 jet pejuang yang melakukan serangan selama tujuh jam dan menyerang lebih daripada 40 lokasi dengan peluru berpandu, namun hanya membunuh dua anggota Hezbollah dan seorang sekutunya dari Pergerakan Amal.

Jika angka 100 itu betul, ia akan menjadi serangan terbesar Israel terhadap Lubnan sejak perang berskala penuh antara Tel Aviv dan Hezbollah pada 2006.

Manakala, Hezbollah pula mendedahkan pasukannya melancar sekitar 340 roket Katyusha dan puluhan dron ke arah Israel, menyebabkan seorang anggota tentera musuh terbunuh.

Kumpulan itu berkata, serangan tersebut berjalan mengikut rancangan dan hanya mensasarkan beberapa kedudukan tentera di utara Israel.

Israel konon percaya pasukannya berjaya menggagalkan serangan besar Hezbollah.

SERANGAN FASA PERTAMA

Dalam satu kenyataan, Hezbollah menegaskan serangan tersebut adalah fasa pertama tindak balas mereka terhadap pembunuhan komandernya, Fouad Shukr, oleh Israel dalam serangan di Beirut, 30 Julai lepas.

Kebanyakan pihak juga percaya Israel terlibat dalam pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, dalam serangan di Teheran, Iran pada hari berikutnya.

Sejak itu, Israel menerima ancaman daripada Hezbollah dan Iran, namun setakat ini Teheran belum memulakan tindakan, manakala serangan Ahad dilihat pembalasan pertama daripada kumpulan di Lubnan.

Israel mendakwa bersedia untuk berperang di dua bahagian, di Gaza dan di sempadan utaranya dengan Lubnan.

Tetapi, kekuatan Hezbollah adalah jauh lebih hebat daripada kumpulan pejuang Hamas, kerana ia dianggarkan mempunyai kira-kira 150,000 roket yang mampu mencapai sasaran di seluruh Israel.

Pejuang Hezbollah, yang sebahagiannya pernah berperang di Syria, adalah terlatih dan lebih lengkap berbanding Hamas.

Israel tidak mempunyai tenaga untuk menghadapi peperangan lain, sementara ia masih belum berjaya menghapuskan sepenuhnya Hamas di Gaza, termasuk berdepan ancaman keganasan meluas di Tebing Barat oleh kumpulan peneroka.

Komander Pasukan Pertahanan Israel (IDF) juga sedar bahawa pihaknya tidak boleh menang dalam perang dengan Hezbollah tanpa pencerobohan darat, kerana pasukannya sangat terdedah kepada serangan hendap.

RISIKO PERANG BESAR

Walaupun Israel dan Hezbollah dilihat tidak begitu serius untuk perang besar-besaran, ini bukan bermakna situasi tersebut tidak akan berlaku.

Ini kerana, kedua-dua pihak mengambil pendekatan yang sangat kasar – penggunaan bahan letupan – untuk menghantar mesej antara satu sama lain.

Potensi untuk impak yang tidak diingini juga berisiko berlaku pada pertempuran dramatik, kelmarin.

Jika salah satu serangan tersebut menyebabkan banyak kecederaan, tekanan politik terhadap kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk menghapuskan Hezbollah juga semakin kuat.

Perdana Menteri Israel itu dilihat mempunyai alasan kukuh untuk mengekalkan Israel dalam konflik, kerana ia membantu mengelakkan tekanan rakyat untuk pilihan raya dan tindakan undang-undang di mahkamah, berkait tuduhan rasuah.

Sekiranya Netanyahu melanjutkan kempen pengeboman, beliau berisiko mencetuskan penglibatan Iran untuk menyokong proksinya di Lubnan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN