PORT DICKSON: Puluhan penyelam yang bergerak secara sukarela membersihkan dasar laut di perairan dan pesisir pantai di Port Dickson di sini telah berjaya mengumpulkan sehingga 11,000 kilogram sampah sejak awal tahun lalu sehingga Julai lalu.
Aktivis alam sekitar, Noor Fadzli Shah berkata, sekitar 20 hingga 40 penyelam melaksanakan tugas sukarela itu bagi setiap sesi sekurang-kurangnya sekali pada setiap bulan.
Menurutnya, tumpuan penyelam adalah untuk membersihkan dasar laut di perairan berhampiran Pantai Tanjung Biru, Pantai Cermin dan Tanjung Tuan yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
Ia memandangkan lokasi tersebut merupakan satu-satunya di Selat Melaka yang mempunyai khazanah batu karang.
“Jenis-jenis sampah kebiasaannya plastik dan botol air yang paling banyak. Walaupun sisa ini tidak banyak ditemukan, namun kita tidak mahu ia berada di perairan kerana bahan mengandungi merkuri dan mampu memberi kesan kepada hidupan di laut.
“Ini terutamanya hidupan laut yang mempunyai bercengkerang. Oleh itu, kita akan sentiasa melaksanakan program pembersihan ini bagi menjaga khazanah alam terutamanya yang terdapat di perairan Tanjung Tuan ini selain melipat gandakan usaha menanam serta memulihara pokok bakau.
“Kami juga berbesar hati apabila aktiviti pembersihan pantai dan dasar laut ini akan menjadi acara tahunan dalam kalender pelancongan Negeri Sembilan pada tahun hadapan,” katanya.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe dalam pada itu berkata, Tanjung Tuan merupakan lokasi paling unik kerana ia satu-satunya kawasan tepian tanah besar Semenanjung Malaysia yang mempunyai terumbu karang yang cantik dan pelbagai spesies hidupan marin.
Menurutnya, spesies hidupan marin itu termasuk ikan-ikan karang, tumbuhan akuatik (latok), penyu dan mamalia akuatik.
“Port Dickson yang terkenal sebagai pusat pelancongan juga menjadi lokasi selam yang menarik berikutan adanya kepelbagaian terumbu karang yang cantik ini” katanya.
Menurutnya, selain sampah, para penyelam turut membantu membersihkan dasar laut daripada pukat hantu yang tersangkut.
“Pukat hantu ini boleh memerangkap dan membunuh hidupan laut yang menjadikan terumbu karang sebagai tempat perlindungan dan pembiakan.
“Lambakan pukat ini juga berkemungkinan mendatangkan risiko kematian kepada penyu yang merayau di perairan Tanjung Tuan,” katanya lagi.-UTUSAN.










