LONDON: Britain terpaksa menempatkan suspek jenayah di dalam lokap polis selepas penjara di seluruh negara sesak dengan ribuan penunjuk perasaan yang ditahan ekoran bantahan anti-Islam bulan ini.
Kerajaan Perdana Menteri, Keir Starmer hari ini memaklumkan, langkah itu terpaksa dilakukan selepas lebih 1,100 suspek keganasan perkauman yang ditahan, memburukkan lagi kesesakan di penjara.
Malah, ia mungkin memaksa pembebasan banduan lebih awal.
Reuters menyatakan, langkah sementara itu bermakna, suspek kes jenayah hanya akan dihadapkan ke mahkamah apabila terdapat kekosongan di sebuah daripada 100 penjara dan sehingga itu, mereka akan ditahan di lokap.
Menteri Hal Ehwal Penjara, Parol dan Tempoh Percubaan, James Timpson mengakui United Kingdom berdepan krisis kehakiman.
“Akibatnya, kami terpaksa membuat keputusan sukar tetapi perlu untuk memastikan sistem ini terus beroperasi,” jelas beliau.
Britain mempunyai kadar penahanan tertinggi di Eropah Barat dengan jumlah banduan meningkat dengan mendadak sejak pandemik Covid-19 disebabkan hukuman yang lebih lama, kelewatan prosiding mahkamah dan keperluan bagi pesalah serius untuk menjalani sekurang-kurangnya 65 peratus daripada hukuman mereka di penjara.
Starmer pada bulan lalu mengumumkan, kebanyakan banduan layak dibebaskan selepas menjalani 40 peratus daripada tempoh hukuman dikenakan di penjara, berkurangan dari 50 peratus sebelum ini, sekali gus menambahkan kesesakan di penjara.










