SEREMBAN: Ekoran memasang khemah tanpa kebenaran selain kedudukan hampir dengan bahu jalan utama, dua buah gerai buah-buahan serta sebuah khemah perniagaan di Jalan Seremban-Jelebu di sini telah sita pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, operasi itu telah dilaksanakan 14 anggota penguat kuasa menerusi tindakan khas di sekitar Kawasan itu susulan operasi yang berasingan dijalankan pada bulan lalu.
“Terdahulu, pada bulan Julai lalu, ketika operasi dijalankan, pihak penguat kuasa mendapati sebanyak tujuh penjaja telah melakukan kesalahan dan notis halangan telah diberikan kerana menimbulkan halangan serta meletakkan khemah di bahu jalan sehingga membahayakan pengguna jalan raya di lokasi tersebut.
“Bagaimanapun, selepas pihak penguat kuasa datang semula ke lokasi terbabit baru-baru ini, didapati masih terdapat dua penjaja buah-buahan yang masih berdegil dan meletakkan khemah di bahu jalan.
“Berikutan itu, penjaja warga tempatan berkenaan yang berusia 30-an dan 50-an telah dikenakan kompaun dan barangan perniagaan disita di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya ketika dihubungi di sini.
Masri menjelaskan, antara barangan yang di sita adalah meja lipat, kerusi, kanopi, meja besi dan peralatan lain yang diletakkan di hadapan premis.
“Kesemua barangan sitaan dibawa ke stor MBS. Tindakan dan pemantauan berterusan akan dijalankan MBS menerusi siri-siri tindakan khas di sekitar bandar Seremban ini,” katanya.-UTUSAN.










