GUA MUSANG: Pengerusi Lembaga Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Zawawi Othman meneruskan saman terhadap Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas pemimpin itu memutar belit fakta sehingga menjejaskan nama agensi berkenaan.
Zawawi berkata, pihak peguam sedang melakukan penilaian sebelum memutuskan tindakan lanjut diambil ke atas pemimpin pembangkang itu.
“Kita sudah lantik peguam, peguam saya akan maklumkan tindakan lanjut yang akan diambil terhadap Takiyuddin.
“Kita akan perbetulkan apa yang mereka kata berhubung tuduhan terhadap Kesedar. Kita akan buat tuntutan atas nasihat peguam,” katanya kepada pemberita di Kesedar Inn di sini hari ini.
Zawawi memberitahu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tidak bermoral dengan menggelar seseorang individu sebagai ‘pondan’.
Katanya, sepatutnya ucapan tak bermoral tidak sepatutnya berlaku dan mengatakan sifat pondan adalah imej yang tak baik.
Sebelum ini, pada 9 Ogos lalu, Takiyuddin mendakwa dia dipanggil polis susulan kenyataannya ketika ceramah bahawa Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) tidak memproses beribu lot tanah untuk diluluskan kerajaan negeri.
Katanya, dia tetap mempertahankan kenyataannya itu meskipun berdepan berdepan ugutan tindakan undang-undang termasuk laporan polis yang telah dibuat Pemuda Umno.
Selain itu, Takiyuddin juga berkata adalah “pondan” jika isu itu dibawa ke mahkamah dan mahukan isu yang dibangkitkan ketika pilihan raya dijawab di ceramah politik.-UTUSAN










