KOTA BHARU: Kerjaya sebagai pengayuh beca di negeri ini semakin pupus selepas tiada golongan yang berminat untuk menjadi pelapis untuk dijadikan sebagai sumber rezeki menyara keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, ketiadaan pendapatan tetap menjadi faktor utama yang membawa kepada kekurangan pelapis.
Menurutnya, beliau sendiri telah bertemu dengan pengayuh beca dan golongan itu mengakui terlalu sukar buat mereka mendapatkan pelanggan saban hari demi mencari sesuap nasi.
“Bayangkanlah kesusahan dilalui seorang penarik beca yang mana kita tahu untuk mendapatkan RM10 amat sukar apabila kebanyakan hari memang tiada pelanggan mahu naik teksi (beca) ke mana-mana.
“Lebih sedih, kini hanya tinggal 17 pengayuh beca di Kota Bharu dengan masing-masing sudah berusia 70 tahun ke atas dan paling muda berusia lebih 60 tahun,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas itu berkata, beliau kini merangka beberapa langkah dan kaedah yang boleh menjamin pendapatan tetap bagi penarik beca sekali gus memastikan kelangsungan beca sebagai pengangkutan tradisional masyarakat di negeri ini.
“Antara cadangannya adalah menjadikan beca serta kerjaya penarik beca sebagai ikon pelancongan negeri. Namun perkara ini belum dibawa ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan kerana satu kertas kerja terperinci mengenainya perlu disediakan lebih dahulu.
“Kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sangat penting dalam perkara ini kerana ia akan melibatkan perbelanjaan yang lebih selain komitmen tinggi daripada pihak kerajaan bagi memastikan keberkesanan serta kejayaannya,” ujarnya. – UTUSAN










