KUALA LUMPUR: Taktik seorang warganegara asing menggunakan perkhidmatan kewangan luar pesisir di negara ini untuk `mencuci duit’ hasil aktiviti judi dalam talian, terbongkar selepas polis membekukan beberapa akaun bernilai RM299.61 juta.
Pembekuan itu dilakukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman selepas mengesan suspek yang juga pemilik platform judi dalam talian beroperasi di luar negara, bertindak memanipulasi wang hasil kegiatan haramnya masuk ke dalam sistem kewangan negara ini.
Ketua Pasukan AMLA, Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, suspek berusia 30-an, dikatakan telah mengaut keuntungan RM14.06 bilion hasil komisen daripada wang pertaruhan membabitkan 10,000 pemain judi menerusi platform dikendalikannya.
Kata beliau, sebahagian daripada RM371 juta hasil diperolehi aktiviti judi dalam talian telah dipindahkan ke negara ini menerusi akaun pesisir di Labuan, Sabah.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM281.002 juta telah di masukkan ke dalam sistem depositori pusat (CDS) dengan pegangan saham sebanyak 108,625 unit.
“Suspek juga telah memasukkan wang bernilai RM18.55 juta (USD 3,939,977.63) ke satu akaun dana yang dipegang secara amanah (ESCROW) dikendalikan sebuah bank pelaburan tempatan yang dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
“Sebanyak RM58.04 juta lagi telah dikesan dimasukkan oleh suspek ke dua akaun bank tempatan. Kesemua akaun ini telah dibekukan kita (AMLA) dengan jumlah keseluruhan RM299.61 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, kata beliau, pihaknya masih mengesan keberadaan lelaki berkenaan memandangkan suspek memiliki dua kerakyatan dan tidak pernah masuk ke negara ini.
Muhammed Hasbullah memberitahu, lelaki berkenaan dipercayai telah mengendalikan platform judi dalam talian itu sejak 2012 sehingga 2020 dengan menyasarkan pemain dari negara luar.
“Lelaki berkenaan juga dikatakan telah disenaraikan notis merah oleh negara asalnya.
“Hasil maklumat dan risikan, kesemua wang haram itu telah dipindahkan ke Malaysia sejak tahun lalu. Kita percaya, ada keuntungan diperolehi suspek dimasukkan ke dalam akaun di negara-negara lain,” jelasnya.
Beliau menambah, dalam usaha membanteras kegiatan aktiviti pengubahan wang haram ini, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa dan sektor swasta terutama institusi kewangan dalam menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Semua bank luar pesisir di negara ini perlu meningkatkan lagi proses usaha wajar dan kenali pelanggan anda (KYC) yang hendak membuka akaun luar pesisir.
“Tindakan ini penting untuk mengelakkan bank-bank luar pesisir digunakan sebagai peralatan kesalahan jenayah pengubahan wang haram,” katanya. – UTUSAN










