LONDON: Satu daripada 20 pemeriksaan tubuh kanak-kanak dan remaja oleh polis di United Kingdom (UK) gagal mematuhi kod amalan undang-undang dengan ada antara mangsa dipaksa berbogel tanpa ditemani ibu bapa atau penjaga.
Pesuruhjaya Kanak-Kanak England, Dame Rachel de Souza dalam satu laporan mendedahkan, sebanyak 3,368 pemeriksaan tubuh dilakukan terhadap golongan itu antara tahun 2018 dan pertengahan tahun lalu di England dan Wales.
Jelas laporan itu seperti didedahkan BBC, secara purata, seorang kanak-kanak dan remaja diperiksa setiap 14 jam di bawah kuasa polis.
De Souza berkata, antara Julai 2022 dan Jun tahun lalu, sebanyak 39 peratus pemeriksaan dilakukan tanpa kehadiran ibu atau bapa dan penjaga, manakala tiada langsung orang dewasa hadir dalam 6 peratus pemeriksaan.
Tambah beliau, kanak-kanak dan remaja kulit hitam juga empat kali lebih cenderung untuk diperiksa, berbanding enam kali dari tempoh 2018 hinga 2022.
Namun, laporan De Souza menunjukkan bahawa jumlah pemeriksaan tubuh yang mendedahkan bahagian intim pada tahun 2022 adalah 42 peratus lebih rendah berbanding tahun 2020.
“Saya berpuas hati dengan rekod di London oleh Polis Metropolitan, tetapi pendedahan ini memberi peringatan jelas bahawa ini bukan isu terpencil.
“Banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum menjalankan pemeriksaan tubuh terhadap kanak-kanak dan remaja kerana proses itu boleh mengakibatkan trauma,” katanya.
Pendedahan itu dibuat susulan satu kes kontroversi pada 2020 membabitkan seorang gadis kulit hitam berusia 15 tahun yang terpaksa menjalani pemeriksaan tubuh selepas dituduh memiliki ganja.
Polis Metropolitan Scotland Yard membuat permohonan maaf selepas remaja itu terbukti tidak bersalah, namun mangsa trauma kerana diperiksa ketika datang bulan tanpa ditemani orang dewasa.










