KUALA LUMPUR: Sebanyak 100 mangsa skim pelaburan palsu membuat laporan polis terhadap pengarah syarikat dan ketua pegawai pemasaran sebuah syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa mengalami kerugian kira-kira RM30 juta akibat pelaburan tersebut.
“Konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut menyaksikan mangsa dijanjikan dengan satu pulangan hibah yang lumayan serta manfaat-manfaat lain yang ditawarkan.
“Kami mengesyaki kesemua janji yang diberikan oleh syarikat tersebut adalah tidak wujud kerana mangsa tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran hibah atau pulangan seperti yang ditawarkan oleh syarikat berkenaan,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.
Jelas Hishamuddin, mangsa juga tidak pernah diberikan sebarang bukti mengenai pelaburan yang dilakukan oleh pihak syarikat.
“Skim pelaburan ala hutang tersebut diketuai oleh seorang pengarah urusan syarikat dan ketua pegawai pemasaran yang sudah pun beberapa kali ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 2021 sebelum dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA),” katanya.
Menurutnya, perkara tersebut akan menimbulkan ketidakadilan yang dibaik pulih (grave injustice) sekiranya laporan polis pengadu dirujuk kepada kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai DNAA itu.
Seorang mangsa yang ingin dikenali sebagai Muhammad, 55, berkata, syarikat tersebut menjanjikan pulangan hibah lumayan serta manfaat lain namun tidak membuat pembayaran sejak mengalami masalah pada tahun 2020.
“Saya melabur sejak tahun 2017 dan mengalami kerugian hampir RM300,000 sejak berlakunya masalah tersebut.
“Hampir lima tahun (sejak 2020) menunggu namun masih tiada khabar berita daripada syarikat tersebut. Mereka janji macam-macam, namun semuanya tiada,” ujarnya..
Jelas Muhammad, tawaran pelaburan ini dilakukan syarikat berkenaan secara mulut ke mulut dan tidak dihebarkan dalam media sosial kerana ingin mengaburi pihak berkuasa.
“Skim pelaburan itu turut menggunakan taktik setiap deposit dibuat perlu menggunakan perkataan ‘buy goods’ bagi mengelak dikesan pihak perbankan berhubung aktiviti pelaburan haram dilakukan,” katanya. – UTUSAN










