Pekerja Nepal bunuh rakan senegara dipenjara 34 tahun

Pekerja Nepal bunuh rakan senegara dipenjara 34 tahun, dikenakan 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang banduan akhir warganegara Nepal dipenjara 34 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini kerana membunuh rakan senegara di sebuah asrama pekerja, sembilan tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap Sujan Dahal, 31, selepas membenarkan permohonan untuk menyemak hukuman mati yang diputuskan terhadapnya

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 6 Oktober 2015.

Sujan disabitkan membunuh Santosh Pariyar kira-kira pukul 11.37 malam, 6 Oktober 2015 di asrama pekerja tersebut di Seri Iskandar, Perak.

Mahkamah Tinggi mensabitkan pekerja asing itu pada 23 Mac 2018 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 12 Februari 2019. Sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember 2021.

Keterangan kes pendakwaan menyatakan, tiga pekerja warganegara asing termasuk mangsa yang ketika itu sedang berehat di bilik asrama pekerja, terdengar bunyi ketukan pintu bertalu-talu dari tingkat bawah bangunan.

Mangsa turun dan memarahi Sujan yang ketika itu dalam keadaan mabuk kerana menyusahkan penghuni lain walhal pintu bahagian bawah bangunan tidak berkunci. Pemohon pula memarahi lelaki itu kerana lambat membukanya.

Perbalahan bertukar menjadi ganas apabila Sujan memukul si mati menggunakan tali pinggang manakala mangsa membalas dengan menumbuk mukanya sebelum dileraikan oleh penyelia yang mengarahkan mereka tidur di tempat masing-masing

Sujan yang masih tidak berpuas hati duduk di katil sambil menghisap rokok sebelum ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu masuk semula ke bilik tidur.

Saksi-saksi menyatakan, mangsa kemudian mengerang kesakitan manakala bahagian perutnya berlumuran darah sebelum dikejarkan ke hospital. Lelaki itu meninggal dunia dua hari kemudian akibat pendarahan berlebihan kerana luka tikaman di bahagian abdomen.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari membantah permohonan semakan atas alasan pemohon yang memulakan pertelingkahan dengan si mati.

Hujah beliau, pemohon bertekad membunuh mangsa kerana menyasarkan tikaman pada organ penting yang menyebabkan luka dan pendarahan berterusan yang menyebabkan kematiannya.

Sementara itu, peguam Kitson Foong yang mewakilinya memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman mati kerana lelaki itu telah insaf dan bertaubat terhadap perbuatannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×