Pas sangkal kenyataan bekas ADUN Nenggiri

Pas sangkal kenyataan bekas ADUN Nenggiri

WAN Rohimi Wan Daud.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Pas menyangkal dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim mengatakan Kerajaan Kelantan tidak pernah memberikan peruntukan kepada beliau sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud sebaliknya berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri turut menerima manfaat sebagaimana yang diperoleh oleh kawasan-kawasan lain di Kelantan.

“Peruntukan ini ada dan ada yang sudah digunakan serta ada yang tidak digunakan lagi. Demo (awak) buat kerja ke tidak sebenarnya?. Kalau kita duk ‘geger’ (bising) dan tidak buat apa-apa maka tidak dapat (peruntukan). 

“Dia kena ikut (prosedur). Untuk lulus peruntukan, ia tidak boleh campak duit dalam bakul kerana perlu ada borang permohonan dan melalui penghulu, pejabat DUN serta kena proses di Pejabat Tanah baru peruntukan diberikan.

“Peruntukan yang disebut itu diluluskan bagi DUN Nenggiri untuk tahun ini,” katanya semasa berceramah di Program Bual Bicara dan Persembahan Kesenian Dikir Barat di Unit Daerah Mengundi (UDM) Renok di sini, malam tadi.

Wan Rohimi memberitahu, dua ADUN pembangkan iaitu Galas dan Kota Lama ini mendapat peruntukan sama dengan ADUN yang bersama dengan kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, bahkan Galas dan Kota Lama mendapat peruntukan lebih besar kerana mereka turut mendapat bantuan dari Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri tidak pernah menafikan hak ADUN kerana apabila rakyat melantik seseorang wakil rakyat yang diberi mandat melalui sistem pilihan raya, kerajaan Kelantan akan bagi hak.

“Kita akan salurkan dan ini juga dilakukan terhadap ADUN Galas dan Kota Lama. Dua ADUN ini pembangkang dalam Kelantan dan mana ada mereka mengeluh kerana kedua-dua mereka dapat peruntukan yang sama,” ujarnya.

Tambahnya, antara peruntukan yang diberikan adalah untuk pembangunan sebanyak RM241,000, program pembelaan rakyat miskin (RM90,000), penyediaan asas pertanian dan perikanan (RM12,000), bantuan bekalan elektrik (RM20,000), Program Rumah Dhuafa (RM212,000), jalan kampung (RM100,000) dan pemberian pelbagai, RM35,000.

Utusan Online semalam melaporkan, Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd. Azizi Abu Naim mendakwa tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada Kerajaan Kelantan sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Mohd. Azizi yang dilucutkan keahlian dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu berkata, setiap kali turun padang bertemu rakyat beliau akan menggunakan wang peribadinya sehinggalah menerima peruntukan daripada Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, isu tersebut sudah dipanjangkan kepada pimpinan parti termasuk Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md. Nor.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN