DOHA: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) Parti Hijau, Jill Stein mempertimbangkan tiga pemimpin hak asasi Palestin sebagai calon gandingannya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Stein yang merupakan seorang doktor dan aktivis adalah penyokong hak asasi Palestin sejak sekian lama dan sebelum ini telah menzahirkan hasrat untuk menjadi calon Presiden AS.
Menurut laporan Al-Jazeera, calon Naib Presiden akan diumumkan dalam satu perhimpunan yang berlangsung secara dalam talian pada Khamis ini, kata jurucakap kempen Stein.
Tiga calon tersebut termasuk dua individu Amerika-Arab antaranya adalah Pengarah Eksekutif Jawatankuasa Anti Diskriminasi (ADC), Abed Ayoub; Aktivis Palestin-Amerika, Amer Zahr dan wartawan serta aktivis, Jacqueline Luqman.
Ketiga-tiga individu berkenaan merupakan pengkritik lantang Israel dan tindakan AS yang tidak berbelah menyokong perang ke atas Gaza.
“Pencalonan ini dijangka boleh meningkatkan peluang Stein untuk memanfaatkan kelompok pengundi yang tidak berpuas hati dan marah dengan pendirian Parti Demokrat terhadap Israel berhubung isu Palestin.
“Walaupun kempen Stein dilihat sukar, dengan politik AS masih didominasi parti Republikan dan Demokrat, jika dia memenangi sebahagian besar undi, kempennya mungkin menjejaskan keputusan pilihan raya,” kata laporan itu.
Malah kehadiran calon Pro Palestin boleh menjejaskan peluang calon Presiden Demokrat, Kamala Harris yang berdepan kekecewaan dalam kalangan rakyat AS kerana tindak tanduk Presiden AS, Joe Biden yang menzahirkan tanpa syarat terhadap Israel.
Walaupun beliau dijangka meraih sokongan kecil, namun kempen Stein dapat menjejaskan peluang calon Presiden lain khususnya di negeri Michigan yang majoriti penduduk Islam dan komuniti Arab dan Muslim-AS. –AGENSI










