WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar mengeluarkan kenyataan bersama menggesa Israel serta Hamas untuk menyambung semula rundingan mengenai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.
Kenyataan itu berkata, ketiga-tiga negara tersebut sudah membentuk ‘kerangka perjanjian’ yang hanya tinggal butiran pelaksanaan untuk dimuktamadkan.
Menerusi kenyataan, negara pengantara terbabit menjemput Israel dan kumpulan pejuang Palestin itu untuk memulakan kembali rundingan pada 15 Ogos bagi menutup semua jurang yang masih ada dan melaksanakan perjanjian tanpa penangguhan.
“Sebagai pengantara, jika perlu kami bersedia untuk membentangkan cadangan sebagai jambatan akhir yang menyelesaikan isu pelaksanaan yang tinggal dengan memenuhi jangkaan semua pihak,” katanya.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden AS, Joe Biden, Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi dan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Kenyataan tersebut berkata, kerangka perjanjian itu berdasarkan prinsip yang digariskan oleh Presiden Biden pada 31 Mei – yang akan dimulakan dengan gencatan senjata penuh dan pembebasan beberapa tebusan – serta disokong oleh Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Terdahulu, Israel mendakwa ia akan menghantar perunding ke rundingan yang dicadangkan, dijadualkan pada 15 Ogos di Doha atau Kaherah.
Bagaimanapun, Hamas belum memberikan maklum balas segera.
Usaha diplomatik yang diperbaharui ini dilihat sebagai percubaan untuk menghalang ketegangan serantau daripada meningkat, selepas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh minggu lalu.
Iran, yang menyalahkan Israel, berikrar untuk memberi tindak balas terhadap pembunuhan itu, meskipun Tel Aviv enggan mengakui bertanggungjawab dalam serangan tersebut.
Walaupun terdapat banyak pusingan rundingan, cabaran untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan setakat ini terbukti sukar dicapai.
Hamas mendesak gencatan senjata, tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertegas mahu konflik berakhir setelah kumpulan pejuang Palestin itu dikalahkan.- BBC











