DHAKA: Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus dilantik menjadi penasihat utama kerajaan sementara di Bangladesh.
Perkara itu diumumkan pejabat Presiden, Mohammed Shahabuddin selepas ia diputuskan dalam pertemuan dengan tentera dan ketua kumpulan Pelajar Menentang Diskriminasi, semalam.
Keputusan dibuat sehari selepas Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan dan melarikan diri dari negara itu, berikutan protes pelajar selama berminggu-minggu yang mencetuskan pergolakan.
Terdahulu, pemimpin pelajar secara jelas menegaskan mereka tidak akan menerima kerajaan yang dipimpin oleh tentera dan mendesak Yunus untuk mengetuai pentadbiran sementara.
Yunus yang kini berada di Paris untuk menjalani prosedur perubatan, bersetuju untuk mengambil peranan itu.
“Apabila pelajar yang berkorban begitu banyak meminta saya untuk mengambil bahagian dalam masa sukar ini, bagaimana saya boleh menolak,” katanya.
Pejabat Presiden dalam kenyataan berkata, pembentukan kerajaan sementara yang cepat adalah perlu untuk mengatasi krisis di negara itu.
Menurut media tempatan, lebih 100 maut dalam pertempuran ganas di seluruh Bangladesh pada Isnin, menjadikannya hari paling berdarah sejak demonstrasi besar-besaran itu bermula.
Ratusan balai polis turut dibakar dengan Persatuan Perkhidmatan Polis Bangladesh (BPSA) mengisytiharkan mogok sehingga keselamatan setiap anggota terjamin.
Secara keseluruhan, lebih 400 orang maut ketika protes bertembung dengan tindakan keras oleh tentera kerajaan.- BBC










