SEREMBAN: Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan terapung tanpa pakaian di dalam parit dekat belakang sebuah kedai di pekan lama Nilai di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lebih kurang pukul 12.25 tengahari, pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu mayat lelaki tersebut
“Siasatan di tempat kejadian telah menemukan mayat dipercayai warganegara asing yang mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berambut pendek, bertubuh sederhana di samping berketinggian lebih kurang 165 sentimeter dan berumur lingkungan 30-an.
“Mayat ditemukan di dalam parit dengan keadaan tidak berpakaian dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih kurang 24 jam. Hasil pemeriksaan pada tubuh si mati mendapati terdapat kesan luka tumpul di bahagian kepala dan beberapa bahagian tubuh.
“Si mati disyaki telah dibunuh dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Berikutan itu, Abdul Malik berkata, orang ramai diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran sekiranya terdapat ahli keluarga atau kenalan yang disedari hilang.-UTUSAN.











