PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia menyokong penuh usaha untuk merealisasikan gencatan senjata dan perdamaian berpanjangan di Gaza yang sewajarnya dipelopori oleh negara-negara penting termasuk Turkiye, Qatar dan Iran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara disentuh dalam perbincangan bersama Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian dan ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim melalui panggilan telefon, lewat petang semalam.
Selain itu, katanya, ia termasuk cadangan Turkiye menghimpunkan pimpinan dunia Islam menerusi sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi menyelaras gerakan dan mengenakan tekanan lebih hebat terhadap Amerika Syarikat serta sekutunya supaya mendesak rejim Zionis Israel segera menghentikan serangan dan pengeboman di Gaza.
“Alhamdulillah, Kerajaan Iran dan Hamas senada dan menyokong inisiatif ini, termasuk cadangan menjemput negara bukan Islam yang turut mendukung keadilan dan memperjuangkan hak kemanusiaan buat rakyat Palestin seperti Afrika Selatan, Brazil, Sepanyol, Ireland dan Portugal.
“Pada masa sama, saya serta Dr Masoud dan Dr Basem berkongsi pendirian sama, di mana usaha mewujudkan perdamaian ini perlu bermula dengan rejim Israel menghentikan sepenuhnya serangan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan.











