JELEBU: Malaysia bersedia untuk membawa pulang anggota tentera Mallbatt yang ketika ini berkhidmat di Lubnan sekiranya konflik perang di Gaza merebak ke negara berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya sudah menyediakan perancangan bersesuaian untuk membawa pulang lebih 800 pegawai dan anggota Batalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di negara itu.
Bagaimanapun menurut beliau, perancangan itu berdasarkan persetujuan bersama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kita telah pun ada perancangan sekiranya konflik merebak ke Lubnan. Kita sudah ada perancangan bagaimana nak bawa balik anggota-anggota kita tetapi oleh kerana mereka ini pasukan pengaman PBB, apa sahaja pergerakan kita pada akhirnya (perlu) persetujuan PBB,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian Jelebu 2024 di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini, semalam.
Lubnan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kesiapsiagaan tentera yang tinggi selepas serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada Selasa lalu mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr.
Beberapa negara melarang perjalanan ke Israel dan Lubnan serta meminta rakyat masing-masing untuk segera meninggalkan kedua-dua negara itu dengan segera.
Terbaharu, pihak berkuasa Kanada meminta rakyat negaranya untuk mengelakkan perjalanan ke Israel susulan ketegangan konflik di Asia Barat selepas Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) meminta rakyatnya meninggalkan segera Lubnan.
Malah beberapa syarikat penerbangan dari AS, Belanda, India, UK, Jerman, Switzerland, Itali, Greece, Perancis dan Poland mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan ke Israel dan Lubnan atas sebab keselamatan.
Memetik laporan agensi The Canadian Press, menurut satu nasihat perjalanan yang dikeluarkan semalam mengatakan peningkatan dalam konflik bersenjata di Israel boleh menjejaskan orang ramai untuk meninggalkan negara itu dengan penerbangan komersial.
Pada tahun lalu, Malaysia menghantar pasukan Malbatt 850-11 melibatkan 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai dan 27 anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam kewangan dari Kementerian Pertahanan.
Malbatt 850-11 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan empat peringkat penghantaran diketuai Komandernya, Kolonel Burhan Sagoni.
Malbatt 850-11 ditempatkan di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin di Lubnan melaksanakan tugas-tugas operasi diberikan oleh UNIFIL khususnya di kawasan tanggungjawab yang ditetapkan.
Sementara itu, dalam perkembangan mengenai isu kelewatan kontraktor dilantik bagi penghantaran pertama helikopter Black Hawk, Mohamed Khaled menegaskan, pihaknya telah berbincang bagi mencari jalan terbaik berhubung isu berkenaan.
“Kita sudah ada seperti biasa beberapa perkara, semua kemungkinan dibatalkan macam mana, kalau tidak batal, apa hak kita, macam mana? Kita berbincang cari jalan terbaik,” katanya. – UTUSAN










