MAINS agih zakat lebih RM98j - Utusan Malaysia

MAINS agih zakat lebih RM98j

ABDUL Aziz Sheikh Ab Kadir beramah mesra dengan para penerima pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Anak Asnaf MAINS dan Penyerahan Zakat Perniagaan di Seremban-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mengagihkan zakat melebihi RM99 juta dalam tempoh Januari sehingga Jun lalu manakala kutipan zakat melebihi RM66 juta bagi tempoh yang sama.

Jelas Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir, bagi kutipan zakat, MAINS mencatatkan jumlah kutipan sebanyak RM66,899,868.32 bagi keseluruhan 10 kategori zakat. 

“Bagi tempoh sama, MAINS telah pun berjaya mengagihkan dana zakat sebanyak RM98,136,329.07 kepada asnaf terdiri daripada fakir, miskin, mualaf, ibnu sabil, fisabilillah, amil dan gharimin.  

 “Alhamdulillah, sebanyak sebanyak 11 syarikat lagi terlibat dalam penyerahan lafaz akad zakat perniagaan syarikat-syarikat korporat yang melibatkan jumlah keseluruhan RM3,747,347.37,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Anak Asnaf MAINS dan Penyerahan Zakat Perniagaan di sini.

Pada majlis itu, seramai 44 pelajar cemerlang terdiri Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun 2023 telah diraikan. 

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, MAINS telah menyediakan pelbagai skim bantuan pendidikan bagi memastikan anak-anak asnaf mendapat peluang pendidikan yang setara. 

“Antaranya adalah Bantuan Am Persekolahan yang disediakan untuk anak-anak yang bersekolah di peringkat rendah dan menengah, termasuk kelengkapan sekolah. 

Selain itu, Bantuan Am Pelajaran juga diberikan kepada anak-anak asnaf yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Dari bulan Januari hingga Julai 2024, seramai 327 anak asnaf fakir dan miskin telah menerima Bantuan Am Pelajaran ini.

“Seramai 4,018 anak asnaf fakir dan miskin telah menerima bantuan persekolahan dan kelengkapan sekolah dari bulan Januari hingga Mei 2024.

“Jumlah anak asnaf yang mengikuti Program Kerjasama Latihan dan Kerjaya tahun 2023-2024 pula adalah seramai 52 orang,”  katanya. 

Katanya lagi, MAINS turut melaksanakan Program Kerjasama Latihan dan Kerjaya Anak Asnaf yang dibina bagi membantu anak-anak asnaf dengan menyediakan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan. 

“Program ini bertujuan adalah untuk memberikan peluang yang lebih baik kepada golongan asnaf untuk keluar dari kemiskinan melalui peningkatan kemahiran dan akses kepada pekerjaan yang berkualiti,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN