MAIK terima lebih RM10 juta wakaf tunai sejak 2015

MAIK terima lebih RM10 juta wakaf tunai sejak 2015

TENGKU Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (dua dari kanan) diiringi Hasnan Ramli (dua dari kiri) ketika menerima sumbangan wakaf tunai pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf dan Apresiasi Pewakaf MAIK Tahun 2024 di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan hari ini. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerima lebih RM10 juta wakaf tunai dari dermawan sejak ia diperkenalkan pada tahun 2015 lalu.

Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Datuk Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebanyakan penyumbang wakaf tunai melakukannya secara konsisten dengan kekerapan melebihi 1,000 transaksi sehari.

“Pada masa sama, sebanyak RM9.2 juta sumbangan wakaf tunai telah diagihkan dan dimanfaatkan dalam pelbagai segmen seperti kesihatan, kebajikan, pendidikan dan pembangunan projek.

“Ini termasuklah digunakan untuk membina 18 unit telaga tiub di daerah terjejas sumber air di Kota Bharu dan sekolah-sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf dan Apresiasi Pewakaf MAIK Tahun 2024 di sini hari ini.

Tengku Temenggong Kelantan itu memberitahu, MAIK turut mengambil pendekatan untuk mengglobalkan agihan wakaf tunai melalui program pengedaran satu juta al-Quran naskhah Malaysia ke seluruh dunia.

“Pendekatan itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan Yayasan Wakaf Malaysia.

“Selain itu, sebanyak 1,547 lot tanah telah diwakafkan dan didaftarkan di bawah kawalan MAIK sehingga tahun lepas selari dengan peruntukan Seksyen 61 Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan 1994,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Hasnan Ramli berkata, pihaknya telah membangunkan dua tanah perkuburan terancang di atas kawasan berkeluasan lebih 3.2 hektar di jajahan Kota Bharu dan Pasir Mas.

Katanya, tanah perkuburan terancang di Jajahan Pasir Mas sudah siap dan telah diserahkan kepada MAIK termasuk dalam aspek pengurusannya.

“Sebuah lagi di Tanjung Chat, Kota Bharu sudah siap dan menunggu masa untuk diserahkan kepada kita.

“Perbezaan tanah perkuburan terancang berbanding tradisional adalah pengurusannya lebih terancang dengan sistem berkomputer termasuk memastikan tiada pertindihan lot kubur atau berlaku monopoli lot kubur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN