LIVERPOOL: Lelaki tertua di dunia, John Tinniswood mengaku tidak mempunyai rahsia Panjang umur ketika dia menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 112, semalam.
Peminat kelab bola sepak Liverpool itu yang dilahirkan pada 26 Ogos 1912 memberitahu Rekod Dunia Guinness, dia sendiri tidak sangka boleh hidup begitu lama merentasi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.
“Saya agak aktif semasa muda. Saya banyak berjalan, tapi kehidupan saya sama seperti orang lain.
“Saya juga tidak mengamalkan diet khusus. Saya makan apa sahaja,” katanya seperti laporan BBC.
Tinniswood muncul lelaki tertua di dunia selepas kematian Juan Vicente Pérez Mora, 114, dari Venezuela pada April lalu.
Dia hanya berusia dua tahun semasa Perang Dunia Pertama dan berumur 27 tahun apabila Perang Dunia Kedua bermula.
Tinniswood pernah berkhidmat dalam pasukan tentera untuk tugas-tugas pentadbiran dan kini menjadi veteran tentera Perang Dunia Kedua yang masih hidup.
Dia mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Blodwen, pada 1942 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Susan pada 1943.
Lelaki Jepun, Jiroemon Kimura mencatat rekod sebagai lelaki tertua di dunia sebelum meninggal dunia pada usia 116 tahun pada 2013.
Rekod wanita tertua di dunia kini dipegang individu Jepun, Tomiko Itooka yang berusia 116 tahun.










