Kuskop sasar produk PMKS tembusi pasaran antarabangsa - Utusan Malaysia

Kuskop sasar produk PMKS tembusi pasaran antarabangsa

EWON Benedick (dua dari kiri) menunjukkan air mineral beroksigen Bubbles O2 pada Majlis Perasmian Pusat PengilaNgan Baharu Bubble O2 di Kampung Kanchong Darat, Rantau, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) bercadang mengantarabangsakan produk dan perkhidmatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke luar negara menerusi Belanjawan 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan yang lebih besar diperlukan dalam belanjawan tahun ini bagi membolehkan cadangan itu dilaksanakan yang mana ia akan dibentangkan pada hujung bulan ini.

“Pada 27 Ogos ini kami akan adakan satu sesi khas dengan pasukan Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan bagi mengemukakan cadangan dan inisiatif baharu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia bersesuaian dengan sesi dialog yang telah kami adakan dengan pemegang-pemegang taruh sebelum ini termasuk cadangan daripada agensi-agensi di bawah Kuskop,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan kilang baharu syarikat peneraju industri air mineral beroksigen, Bubbles O2 Sdn. Bhd. (Bubbles O2) di Kampung Kanchong, Rantau di sini hari ini.

Menurut Ewon, kementerian komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengembangkan perniagaan PMKS dengan membuka peluang di peringkat antarabanga selain menyumbang kepada ekonomi negara.

“Sebab itu kami akan mengemukakan cadangan ini supaya pasukan Belanjawan 2025 dari Kementerian Kewangan dapat menyokong Kuskop memperkukuhkan usahawan seperti mana kami membantu Bubbles O2.

“Salah satunya bagaimana kita dapat mengantarabangsakan produk dan perkhidmatan kita iaitu membawa usahawan ini ke ekspo luar negara dan meletakkan produk PMKS ke pasaran luar negara,” katanya

Ewon berkata, Kuskop turut berhasrat untuk mendapatkan peruntukan tambahan dari Kementerian Kewangan pada tahun 2025 kerana melihat ada keperluan untuk mewujudkan hab PMKS baharu terutama di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut melahirkan keyakinan cadangan dan inisiatif baharu yang dikemukakan kementerian dapat meningkatkan prestasi PMKS sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai eksport dan peluang tenaga kerja kepada rakyat tempatan.

“Saya percaya melalui kerja keras agensi di bawah kementerian ini seperti Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas), SME Corp Malaysia dan SME Bank, kita boleh meningkatkan lagi prestasi PMKS dan gerakan koperasi negara,” katanya.

Tambah Ewon, pihaknya berharap pasukan Belanjawan 2025 MOF dapat menyokong usaha Kuskop kerana ini yang diperlukan usahawan seperti mana agenai di bawah kementerian itu membantu syarikat Bubbles 02 ini.

“Syarikat Bubbles O2 bukan hanya menjual produk di 5,000 premis di dalam Malaysia tetapi sudah menembusi pasaran antarabangsa. Semua ini berlaku kerana kita diperkukuhkan dengan dana peruntukan yang kemudian disalurkan kepada usahawan,” katanya.

Pada tahun lalu, Kuskop menerima peruntukan sebanyak RM778.8 juta dalam Belanjawan 2024.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki berkafa, pembukaan pusat pengilangan baharu ini salah satu langkah penting dalam usaha syarikat memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×