SEREMBAN: Kontinjen Negeri Sembilan ke temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak berpeluang mendapat insentif tambahan sekiranya mereka mampu mencapai prestasi membanggakan negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, setakat ini inisiatif yang diberikan sama seperti yang disediakan tahun sebelum ini.
“Kerajaan negeri tidak menjanjikan apa-apa namun akan melihat kepada prestasi atlet ini, setakat ini, Negeri Sembilan menyediakan insentif kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas sebanyak RM5,000 manakala bagi pingat perak dan gangsa pula adalah sebanyak RM3,000 dan RM2,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bendera Negeri Sembilan kepada atlet kontinjen ini pada Kem Fasa Akhir Kontinjen Negeri Sembilan Ke Sukma Sarawak 2024 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri merangkap Ketua Kontinjen Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor.

Sementara itu, menurut Mohd. Zafir, bagi kategori beregu, setiap atlet bakal menerima RM3,000 bagi pingat emas; perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).
“Bagi berkumpulan tiga orang, setiap atlet akan diberikan RM2,000 untuk pingat emas, perak (RM1,500) dan gangsa (RM800).
“Bagi acara berkumpulan lebih empat orang, setiap mereka mendapat RM1,500 jika memenangi pingat emas, perak (RM1,000) dan gangsa (RM500),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd. Zafir turut menasihatkan para atlet Negeri Sembilan supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dan berdisplin.
“Ini kerana mereka ini telah buat persiapan agak lama dan kita tidak mahu atlet disaat-saat akhir menghadapi masalah sepertikeracunan makanan, peralatan hilang atau sebagainya,” katanya lagi.
Kontinjen Negeri Sembilan dibarisi seramai 520 orang termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pasukan perubatan dan sekreteriat dan menyasarkan sebanyak 19 pingat emas.-UTUSAN.










