Khalwat: Pegawai SPRM bebas tuduhan beri maklumat palsu

Khalwat: Pegawai SPRM bebas tuduhan beri maklumat palsu

FIKRI Ab. Rahim (kiri) bersama-sama peguamnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya selepas prosiding rayuan berkaitan kes maklumat palsu. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memberi maklumat palsu kepada kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung kesahihan identitinya, enam tahun lalu.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab. Rahim, 49, ketika kejadian merupakan bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Fikri, sekaligus mengetepikan sabitan dan denda RM1,500 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Sebaliknya, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret pada 17 Februari 2022 yang melepas dan membebaskannya daripada tuduhan itu.

“Sabitan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tidak selamat untuk dikekalkan. Panel ini turut memerintahkan denda RM1,500 yang telah dibayar, dipulangkan kepadanya,” ujar Hakim Ahmad Zaidi.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Ahmad Zaidi berkata, panel itu berpendapat, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan Fikri di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan.

Beliau berpuas hati, pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada kes pendakwaan kerana Fikri tidak dibenar mendedahkan identitinya tanpa kebenaran Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Beliau didakwa memberi maklumat palsu kepada kakitangan jabatan itu berkaitan butiran nama pasangan dalam borang maklumat peribadi, Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS.

Fikri didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat JAIS, Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Seksyen 5, kira-kira pukul 4 pagi pada 16 Disember 2017.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menyatakan, sepasukan penguat kuasa JAIS menyerbu sebuah kondominium di Seri Kembangan pada awal pagi berkenaan dan mendapati Fikri bersama-sama seorang wanita yang juga pegawai SPRM dalam unit berkenaan.

Pihak pembelaan berpendirian, kedua-duanya yang ketika itu sedang mengawasi aktiviti rasuah dalam kalangan agensi kerajaan, bertindak mendedahkan identiti penyamaran ketika diminta berbuat demikian oleh pegawai JAIS.

Bagaimanapun, Fikri memperoleh kebenaran untuk mendedahkan identitinya pada pukul 11 pagi hari yang sama dan kembali ke Pejabat JAIS pukul 2 petang untuk memaklumkan bahawa maklumat awal yang diberikannya tidak tepat.

Pasukan pembelaan turut memberitahu mahkamah, Fikri turut dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan pegawai berkenaan.

Ketika ditemui wakil media selepas rayuan tersebut, Fikri yang kini bertugas di jabatan siasatan SPRM, melahirkan kelegaan kerana namaya dibersihkan selepas berjuang selama enam tahun.

Fikri diwakili oleh peguam-peguam Tiara Katrina Fuad dan Datuk Selvam Mookiah manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim bersama-sama Zaki Asyraf Zubir dan Aida Khairuleen Azli bertindak bagi pihak responden. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×