SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sehingga kini telah menunaikan sehingga 95 peratus manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan yang ditawarkan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) setahun lalu.
Sebahagian inisiatif yang telah ditunaikan itu termasuklah di bawah Skim Sejahtera Rakyat iaitu bantuan perkahwinan sebanyak RM500 kepada setiap seorang anak-anak Negeri Sembilan yang mendirikan rumah tangga kali pertama dan sumbangan keceriaan tahunan sebanyak RM200 kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sehubungan itu berkata, selepas ini usaha akan dilakukan supaya kesemua inisiatif yang dijanji untuk dilaksana dapat disempurnakan.
“Selepas ini kami akan lihat semula apa yang belum dilaksanakan, tetapi saya rasa hampir semua telah dilaksanakan dan bermula sebaik sahaja kita menang (PRN),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Siri 3 Tahun 2024 di sini hari ini.
Selepas PRN Negeri Sembilan pada 12 Ogos tahun lalu, kerajaan negeri telah dibentuk dengan gabungan dua parti iaitu PH yang menang sebanyak 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan BN menang di 14 buah kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan dalam pada itu berkata, kerjasama di antara kedua-dua parti sepanjang tempoh setahun nampak begitu baik dan keadaan itu turut membantu dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Pembangunan yang berlangsung ketika ini di Negeri Sembilan juga adalah atas kerjasama baik tersebut, ia menunjukkan perpaduan dan kesungguhan kita bagi memastikan negeri ini berjaya dalam semua bidang, memang itu harapan kita,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, sesi Konsultasi Belanjawan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 yang diadakan baru-baru ini turut melihat kepada perincian pembayaran emolumen kepada penjawat awam Negeri Sembilan susulan jangkaan kadar kenaikan gaji penjawat awam di peringkat Persekutuan.
“Apa juga keputusan di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri akan ikut dan saya rasa akan turut berikan penambahan kepada pembayaran emolumen penjawat awam, kita kena melihat ini, dan konsultasi belanjawan (Negeri Sembilan) antara dilihat adalah bagaimana untuk menyerap apa juga yang berlaku apabila emolumen kepada penjawat awam ini meningkat,” katanya.
Sementara itu, pada majlis hari ini, seramai 180 siswazah cemerlang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dengan peruntukan sebanyak RM900,000 yang disediakan pihak Yayasan Negeri Sembilan (YNS).-UTUSAN.











