Kelantan Warriors bawa tekong kebangsaan Thailand untuk kembali saingan STL Premier

Kelantan Warriors bawa tekong kebangsaan Thailand untuk kembali saingan STL Premier

ABDUL Fattah Mahmood (belakang lima dari kanan) bersama barisan pemain dan pengawai pasukan Kelantan Warriors pada majlis pengenalan pasukan di Kota Bharu, Kelantan semalam. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) membawa masuk tekong kebangsaan Thailand bawah 23 Siwakorn Thanaka dalam usaha memperkemaskan pasukan Kelantan Warriors untuk kembali semula ke saingan Premier Liga Sepak Takraw (STL) pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, selain itu perejam perejam dari negara Gajah Putih itu Rusdee Leerem yang sudah masak dengan saingan STL turut dibawa masuk untuk menambah sengat di bahagian serangan pasukan.

Menurutnya, melengkapkan lagi keampuhan pasukan, Gastak memperkuatkan Kelantan Warriors dengan menggabungkan tenaga berpengalaman dan muda dalam memberikan saingan musim ini.

“Ini adalah titik mula baharu bagi Kelantan Warriors dan saya menyedari kita akan melalui cabaran demi cabaran untuk melangkah naik ke STL Premier. Namun saya yakin kita mampu melakukannya dengan sokongan daripada Gastak, barisan penaja dan kerajaan negeri.

“Dengan sokongan ini saya yakin barisan pemain akan mendapat semangat baharu untuk membawa pasukan ke divisyen teratas STL,” katanya pada sidang media Memperkenalkan Pemain dan Penaja Pasukan Sepak Takraw Kelantan Warriors STL 2024 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Zamakhshari Muhammad, di sini semalam.

Abdul Fattah memberitahu, Kelantan Warriors turut diperkuatkan bekas pemain Penang Black Panthers iaitu Muhammad Fakhrul Akmal Nakoin (tekong) dan Mohd. Haikal Mohamad Jamil (apit kanan) serta bekas perejam PDRM Defenders Muhamad Adli Abu Bakar.

“Kita turut serapkan pemain sepak takraw Sukma Kelantan, Muhammad Amirul Amir Mohd. Alwi untuk bersama-sama menggalas cabaran pasukan dan dengan latihan yang dijalani kita kini ada keyakinan untuk kembali ke STL Premier.

“Kita sudah ada pelan latihan serta strategi untuk pasukan hasil gabungan jurulatih tempatan berpengalaman dan jurulatih import dari Thailand. Bariasan pemain juga turut menunjukkan tahap keyakinan serta disiplin yang tinggi dalam setiap sesi latihan,” ujarnya.

Abdul Fattah berkata, untuk melangkah ke perlawanan akhir STL Divisyen 1, Kelantan Warriors tidak terlalu fokus kepada undian liga yang akan berlangsung pada malam ini sebaliknya perlu menghadapi setiap lawan yang ada.

“Untuk ke final kita mesti mengalahkan kesemua sembilan pasukan lawan. Kalau kita kalah kepada mana-mana lawan, peluang kita mungkin tipis,” ujarnya.

Pada tahun ini STL memperkenalkan format baharu yang mana dua pasukan teratas STL Divisyen 1 akan layak secara automatik untuk bersaing di STL Premier pada tahun ini juga.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN