GUA MUSANG: Kerajaan negeri Kelantan sudah meluluskan 2,858 hak milik tanah di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamad Fadzli Hassan berkata, ia melibatkan kawasan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).
“RPT itu melibatkan Sungai Terah dan Limau Kasturi. RKT pula kita ada sembilan kawasan iaitu Meranto, Jeram Tekoh, Sungai Asap, Renok Baru, Paloh 1, Paloh 2, Paloh 3, Chalil dan Lebir.
“Selain itu, kawasan Taman Agropolitan Rantau Manis dan Projek Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Tanah Puteh turut berada dibawah Kesedar,” pada sidang akhbar di Pejabat Pas Kawasan Gua Musang di sini hari ini.
Mohamed Fadzli memberitahu, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan keperluan rakyat.
Katanya, sejak Pas mentadbir Kelantan sebanyak sebanyak 10,364 hak milik tanah dengan jumlah keluasan kira-kira 72,755 hektar telah diluluskan di jajahan Gua Musang.
Media sebelum ini melaporkan, Kesedar akan menyerahkan hak milik tanah seluas 7,000 hektar kepada peneroka dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses pecah lot untuk tanah berkenaan sudah selesaikan dilakukan dan penyerahan hak milik itu membabitkan 2,200 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar.-UTUSAN











