KUALA PILAH: Walaupun dengan basikal tua yang ada sudah berusia 80 tahun, ia tidak menjadi penghalang untuk ahli Kelab Basikal Tua Negeri Sembilan untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan ketika ini.
Presiden kelab tersebut, Amran Yahya, 55, berkata, pada setiap kali bulan kemerdekaan, setiap ahli kelab akan secara sukarela menyertai mana-mana program mengayuh basikal mengelilingi kampung serta bandar sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurutnya, basikal tua itu sinonim dengan masyarakat dahulu terutama sebelum merdeka dan di awal kemerdekaan iaitu sebagai pengangkutan yang digunakan seharian.
“Kita kena imbas balik memori ini, kadang-kala ada yang terlupa dengan kesukaran orang terdahulu untuk keluar mencari rezeki sehingga mensia-siakan nikmat kemerdekaan hari ini.
“Dahulu, sekitar tahun 1960-an, datuk, nenek kita membeli basikal ini dengan harga RM160, bayaran pendahuluan RM20, selebihnya bayaran bulanan sebanyak RM5.
“Nilai duit pada masa itu agak besar dan tentulah kita kena hargai pengorbanan generasi terdahulu ini. Oleh itu, sempena program kemerdekaan ini, seramai 10 individu telah mengayuh basikal tua sambil mengibarkan bendera Malaysia,” katanya sempena Program Jiwa Komuniti Madani Parlimen Kuala Pilah, di Dataran Melang, di sini.
Pada majlis berkenaan Amran menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan sebagai simbolik sambutan bulan kemerdekaan peringkat Parlimen berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sembilan, Azrul Hasan berkata, Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 (KMJG 2024) yang menyelusuri setiap negeri di Semenanjung Malaysia telah singgah di Negeri Sembilan pada 22 dan 23 Julai lalu.
Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan adalah bagi menzahirkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.
“Selaras dengan itu, bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam negara sempena sambutan bulan kebangsaan pada tahun ini, Kementerian Komunikasi telah mengumumkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).
“Inisiatif ini bertepatan untuk menterjemah semangat patriotik dan rasa bangga menjadi anak Malaysia. Kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera adalah gambaran diri kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN.










