Kanak-kanak Gaza menderita penyakit kulit

Kanak-kanak Gaza menderita penyakit kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Bukan sekadar berdepan trauma akibat serangan dahsyat tentera Israel, kebanyakan kanak-kanak Palestin di Gaza turut menderita penyakit kulit yang sukar untuk disembuhkan.

Rata-rata kanak-kanak di wilayah perang itu diserang penyakit kulit yang berlanjutan, ketika bekalan perubatan semakin terhad dan hanya sebahagian hospital masih berfungsi di kawasan terkepung.

Perang selama 10 bulan Israel di Gaza mengheret wilayah itu ke dalam krisis air bersih, kekurangan bantuan dan ubat-ubatan serta pembuangan kumbahan tidak terkawal, yang mengakibatkan penyakit kulit dan penyakit lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mangsa, Yasmine al-Shanbari, 3, adalah antara ribuan kanak-kanak yang terkesan penyakit itu, dengan tompok merah merebak di seluruh mukanya.

Bapa kanak-kanak itu, Ahmed al-Shanbari berkata, penyakit yang dihadapi anaknya sudah berlarutan hampir 10 hari dan keadaan itu dilihat bertambah teruk.

“Kami tidak mempunyai sebarang ubat untuk diberikan kepadanya bagi meredakan penyakit itu, dan berharap ia akan hilang dari wajahnya,” kata Ahmed.

Jurucakap Hospital Kamal Adwan, Dr Wissam al-Sakani berkata, penyakit kulit bukan satu-satunya penyakit yang menular ke salah satu tempat paling padat penduduk di dunia.

“Semalam kami bercakap mengenai hepatitis, dan hari ini tentang penyakit kulit berjangkit. Setiap hari pasti ada penyakit baharu yang merebak di kalangan kanak-kanak,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai Hepatitis A dan polio yang sedang merebak dalam kalangan kanak-kanak di Gaza.

“Agensi PBB memberi amaran mengenai risiko tinggi penularan penyakit berjangkit di Gaza, ketika isu kekurangan air dan tiada cara mencukupi untuk menguruskan sisa dan kumbahan,” menurut laporan dikeluarkan awal bulan ini.

Israel menafikan bertanggungjawab terhadap kelewatan dalam membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza, sebaliknya menyalahkan PBB dan pihak antarabangsa lain terhadap isu pengagihan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini