BANGKOK: Anak perempuan bekas pemimpin Thailand, Thaksin Shinawatra iaitu Paetongtarn Shinawatra, dipilih sebagai Perdana Menteri baharu negara itu susulan pemecatan Srettha Thavisin kerana melanggar etika profesional.
Paetongtarn, 37, memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 251 Ahli Parlimen di Dewan Perwakilan Rakyat yang terdiri daripada 500 anggota.
Beliau muncul Perdana Menteri wanita kedua Thailand selepas ibu saudaranya, Yingluck dan yang ketiga dalam keluarga Shinawatra, satu kejutan yang mungkin mencetuskan semula ketegangan politik.
Paetongtarn turut mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri termuda Thailand.
Penamaannya sebagai calon Perdana Menteri sebelum ini disokong oleh gabungan 11 parti pimpinan Parti Pheu Thai yang dikawal oleh Thaksin yang mempunyai lebih 300 Ahli Parlimen di Dewan Perwakilan Rakyat.
Paetongtarn dalam ucapan sejurus kemenangannya menyeru rakyat negara ini agar terus bersatu dan berikrar akan memajukan negara.
Beliau yang juga anak bongsu Thaksin menceburi politik pada akhir 2022 apabila dilantik mengetuai pucuk pimpinan Parti Pheu Thai, malah pernah dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada tahun lalu bersama dua lagi calon lain iaitu Srettha dan Chaikasem Nitisiri.
AFP melaporkan, corak pemerintahan Paetongtarn mungkin dibayangi bapanya yang telah bergelumang dalam politik sejak 20 tahun lalu.
Thaksin digulingkan tentera dalam satu rampasan kuasa pada 2006 berkaitan kes rasuah, manakala adiknya, Yingluck turut menerima nasib sama pada 2014 atas dakwaan salah guna kuasa.











