KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyeru umat Islam di negara ini tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada golongan yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.
Baginda menyeru masyarakat Islam dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali golongan yang berimej mungkar, munafik, lemah moral, rendah akhlak serta sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik umat.
Sultan Nazrin bertitah, Islam akan lebih dihormati dan terus dimuliakan jika majoriti umatnya terdiri daripada ummah yang memperlihatkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang.
“Islam jangan dibiarkan kelihatan bagaikan warna yang suram serta nama yang lompong tanpa pengisian bermakna. Ummah bertanggungjawab mewarnakan Islam yang bergemerlapan dan mengisi Islam dengan kandungan yang meyakinkan.
“Kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung pada tahap kejayaan ummah. Oleh itu, usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus.
“Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkayakan generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di sini, semalam.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang diuar-uarkan atau dimegahkan melalui kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam.
Baginda bertitah, tiada siapa akan dapat diyakinkan melalui tindakan tersebut sekiranya apa diuar-uarkan bercanggah dengan sifat serta watak menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini.
“Mengingatkan beta kepada kisah seorang pelancong berketurunan Scottish di kota London yang mengunjungi pameran Introduction to Islam. Seorang dai berkongsi dalam media sosial pengalaman interaksi beliau dengan pelancong tersebut.
“Apabila dai bertanyakan sama ada beliau boleh membantu memperkenalkan Islam, pelancong tersebut menjawab, tidak perlu kerana dia tidak berminat dengan teori. Dia memaklumkan pernah bertugas di beberapa negara Islam untuk tempoh yang panjang, dia membaca banyak bahan tentang Islam.
“Dia menyatakan Islam ialah agama yang indah lagi menarik, agama yang menganjur hubungan dengan pelbagai pihak, merangkumi umat Islam dan bukan Islam. Islam mengajar kaedah beribadah dengan Tuhan secara jelas, kaedah melayan ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga dan masyarakat secara keseluruhannya.
“Malangnya katanya, tingkah laku yang dipamerkan oleh ramai umat Islam adalah di sebalik apa yang dituntut. “Dia menyenaraikan 10 perkara yang pada pemerhatiannya telah mencemarkan kesucian Islam, dilakukan oleh banyak pihak yang mendakwa beragama Islam,” titah baginda.
10 perkara cemar kesucian Islam:
1. Menipu, bersumpah palsu, mencuri.
2. Tidak menghormati masa.
3. Memfitnah dan memperkecilkan sesama sendiri.
4. Bersifat perkauman.
5. Mengumpul kekayaan dengan cara yang salah.
6. Tidak menghiraukan kebersihan.
7. Memuliakan yang kaya dan menghina yang miskin.
8. Menggunakan undang-undang secara selektif.
9. Memanipulasi agama untuk kepentingan diri.
10. Kurang mendalami, ku rang memahami dan kurang menghayati Islam walaupun lahir dalam Islam lalu menjadi pengikut yang buta. – UTUSAN










